KEMENANGAN 3-1 direkodkan Perak FC ketika berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi timbal balik Piala Malaysia mengesahkan tiket mereka ke suku akhir kejohanan tersebut.
Mereka yang mara dengan agregat 6-1 sudah pasti berpuas hati dengan keputusan itu meskipun perlu mengakui pelbagai kelemahan perlu diperbaiki sekiranya mahu mengulangi pencapaian musim lalu.
Namun, penyokong pastinya mahu melupakan sebentar kegusaran tersebut kerana masing-masing mahu meraikan kemenangan diraih di Stadium Perbandaran Manjung, Perak itu.
BACA LAGI: Lucho hampir segala-galanya buat Perak FC pada pandangan Yusri Che Lah
BACA LAGI: Banyak perlu dibuktikan Yusri Che Lah sepanjang bulan September
Tae-min merupakan figura disenangi dalam skuad TBG musim ini.
Tetapi, di sebalik keriangan itu, timbul pula satu kisah duka apabila difahamkan, kontrak import kelahiran Korea Selatan, Lee Tae-min yang akan tamat tidak disambung pihak pengurusan.
Perkara berkenaan sebelum ini hanya berstatus khabar angin selepas penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) berteka-teki mengenai ketiadaannya dalam pasukan dengan ada mengatakan dia sudah kembali ke tanah air.
Bagaimanapun, pemergiannya daripada pasukan hanya disahkan apabila usai pertembungan menentang KDN FC, kelab Utara tanah air berkongsi sebuah video menyatakan perlawanan itu merupakan yang terakhir bagi Tae-min.
Dia yang sempat beraksi sebagai pemain simpanan dalam perlawanan itu sudah tentu menghargai sorakan daripada ribuan penonton di stadium sebelum memberikan kata-kata penghargaan buat penyokongnya sendiri.
"Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada semua pihak atas sokongan. Sepanjang berada di sini, saya berjaya mengumpul banyak pengalaman," katanya.
Ucapan penghargaan itu kemudiannya diikuti usikan daripada rakan sepasukan, termasuk Shivan Pillay dan Azfar Fikri yang mencurahkan air kepadanya sebagai simbolik perpisahan mereka.
Sepanjang separuh musim bersama skuad TBG, Tae-min hanya sempat merekodkan lapan penampilan Liga Super dan satu dalam saingan Piala Malaysia dengan kemunculannya menjadi terhad berikutan kecederaan dialaminya.
Meskipun berdepan masalah itu, pemain berusia 21 tahun itu pasti akan terus dikenang dalam kalangan penyokong yang cukup kagum akan kesungguhannya setiap kali diturunkan.
Selain itu, dua gol dan satu bantuan jaringan yang direkodkan sedikit sebanyak membantu skuad TBG berada dalam posisi lebih baik dalam Liga Super jika dibandingkan dengan musim lalu.
Tae-min dijangka pulang ke Korea Selatan dengan kelab-kelab liga bawahan di negara itu pasti berminat untuk mendapatkan khidmatnya dengan harapan bakatnya dapat terus digilap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram