MALAYSIA bukanlah kuasa besar dalam sukan footgolf, namun siapa sangka skuad wanita kebangsaan berhasil bergelar juara Asia apabila mengejutkan juara dunia 2023, Jepun di pentas final kejohanan Footgolf Piala Asia 2024 di The Els Club, Desaru, Johor.
Kejohanan yang berlangsung pada September lepas itu menyaksikan skuad dibarisi Steffi Siddhu, Fatin Shahida dan Nisa Alina Zulkefli, terlebih dahulu mengikat Jepun 1-1 dalam masa sebenar sebelum melakar kemenangan 2-0 pada aksi play-off.
Selepas dua bulan berlalu, kehangatan kemenangan tersebut masih dirasai oleh salah seorang pemain footgolf tanah air iaitu Nisa Alina, yang sehingga kini mengingati momen terindah dalam kariernya itu.
BACA LAGI: Perasaan kerdil Piala Dunia cukup mendewasakan, skuad footgolf kebangsaan kini sedia tawan Asia
BACA LAGI: Muncul Top 8 dunia, skuad footgolf kebangsaan buru gelaran Piala Asia di Johor
Nisa Alina berkata, kemenangan tersebut memang mengejutkan lagi-lagi jika melihat lawan mereka iaitu Jepun yang jauh lebih mempunyai persediaan rapi dalam sukan berkenaan.
"Tidak sangka boleh bagi tentangan kepada Jepun, hari itu (final) pun kita menang daripada play-off. Itu yang buat kenangan jadi lebih manis. Atas kertas memang Jepun jauh lebih hebat dalam footgolf.
"Jepun merupakan pasukan yang besar dalam footgolf daripada segi teknikal dan kecergasan mereka. Mereka sudah tidak menganggap footgolf sebagai sukan yang kecil. Mereka semakin ke arah profesional.
"Kemenangan kami membuktikan yang Malaysia mampu memberi tentangan. Ketika itu kami memang kuatkan mental. Footgolf sukan mental, fizikal memang penting tapi dalam padang itu kita perlu sediakan mental lebih kuat," katanya kepada Majoriti.
Nisa Alina (kiri) bersama rakan sepasukannya. — Instagram/NisaAlina
Untuk info, sebelum beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan, Nisa Alina muncul juara bagi kategori wanita dalam siri kejohanan footgolf Terbuka Australia yang berlangsung di Sydney, Australia pada Mei lepas.
Bercerita mengenai cintanya terhadap sukan footgolf, pemain berusia 29 tahun itu menceritakan bahawa dia sanggup menukar tarikh perkahwinan untuk menimba pengalaman beraksi di Kejohanan Footgolf Piala Dunia 2023 dekat Orlando, Amerika Syarikat.
"Sebab nak pergi Orlando, kami (Nisa Alina dan suami) kena awalkan tarikh perkahwinan kami. Bayangkan passion untuk footgolf sebab nak sertai Piala Dunia. Semasa perlawanan itu ada bercanggah dengan tarikh.
"Bila kahwin ini sudah deal dengan dewan, memang dah rugi. Alami kerugian sedikit tapi sebab nak pergi Piala Dunia kan. Awal-awal memang keluarga ada tanya-tanya tapi mereka pun memahami.
"Ketika itu memang agak rushing. Sepatutnya kahwin bulan enam tapi bulan lima dah perlu ke Piala Dunia. Jadi memang bercanggah. Jadi kami awalkan tarikh perkahwinan ke bulan tiga," jelasnya.
Pengorbanan itu nyata berbaloi apabila kini Nisa Alina kini merupakan pemain kedua terbaik Asia selepas berhasil merangkual kejuaraan Piala Asia bersama skuad footgolf wanita kebangsaan dan meraih kejayaan peribadi di Sydney.
Selepas ini, Nisa Alia menyasarkan untuk menghuni ranking pertama dalam rantau Asia dan berhasrat untuk menjadi pemain terbaik dunia dalam Piala Dunia 2026 nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram