DESAKAN untuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin berundur semakin kuat terutamanya ketika prestasi skuad kebangsaan mengalami penurunan.
Walaupun timbul desakan, badan induk bola sepak negara itu tidak mudah melatah. Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berpendapat bola sepak Malaysia masih berada di landasan yang baik selari dengan program F:30 mereka.
"Tiada keperluan mendesak bagi Presiden FAM melepaskan jawatannya. Arena bola sepak negara masih menunjukkan perkembangan positif di bawah pimpinan Tan Sri Hamidin," ujarnya.
BACA LAGI: 'Desakan Hamidin berundur patutnya tak ada, bola sepak Malaysia bergerak ikut sasaran'
BACA LAGI: 'Kalau dunia korporat, dah lama kena pecat', pakar bimbang Hamidin 'rosakkan' FAM jika terus kekal
Pendapat oleh Noor Azman itu turut selari dengan apa yang dikatakan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim. Menurutnya, Hamidin mempunyai hak untuk terus kekal di FAM sebagai presiden jika dia masih mahu berbuat demikian.
Tiada halangan atau klausa yang boleh menghalang Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA daripada terus mempertahan kerusinya sebagai presiden apabila tempohnya tamat pada 2025.
Tempoh penggal kedua Hamidin sebagai Presiden FAM akan tamat pada 2025.
"Jika dia masih mahu bertanding, itu adalah hak dia. Macam mana orang kata yang dia gagal atau tak bagus, itu adalah hak dia untuk terus bertanding.
"Jika Hamidin masih dibenarkan untuk terus bertanding mengikut peraturan dalam FAM, tiada siapa boleh halang dia daripada bertanding atau meletakkan jawatan, ia terpulang kepada dirinya," kata Zulakbal kepada Majoriti.
Walaupun Hamidin mempunyai hak untuk terus kekal bertanding jawatan Presiden FAM, namun begitu dia haruslah mencapai penunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh penyokong iaitu membawa pulang piala.
Bola sepak Malaysia kebelakangan ini menunjukkan perkembangan apabila Malaysia layak ke Piala Asia secara merit buat pertama kali sejak 43 tahun selain bola sepak wanita tempatan semakin berkembang menerusi penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN).
Akan tetapi, segala itu dilihat tidak bermakna bagi penyokong seandainya skuad Harimau Malaya berterusan tidak mencapai kejayaan seperti memenangi piala di peringkat Asia Tenggara atau mara jauh dalam kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.
"Desakan untuk berundur itu hadir daripada penyokong selepas mereka lihat skuad kebangsaan tidak memenangi apa-apa. Kita cuma menang Pestabola Merdeka yang merupakan pertandingan anjuran kita sendiri. Selain itu tiada apa-apa.
"Oleh itu, kayu pengukurnya bukanlah penganjuran liga yang berprestij, padang yang bagus, penggunaan papan markah elektronik apa sebagainya, sebaliknya penyokong nak tengok Harimau Malaya menang.
"Sehingga hari ini, masih belum berjaya lagi. Jika tiada piala itu, maknanya masih belum berjaya pada pandangan penyokong," ulas Zulakbal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram