SEORANG pelajar sebuah maahad tahfiz di Hulu Langat, Kajang, Selangor dilaporkan hilang sejak kali terakhir dilihat di kawasan sekolah berkenaan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata laporan polis mengenai kehilangan pelajar berusia 16 tahúr itu diterima pihaknya pada pukul 6.15 petang.
Menurutnya, Kasyfi Isyraq Kharudin disedari hilang pada pukul 8 pagi, Jumaat sebelum satu laporan polis dibuat oleh seorang warden di sekolah maahad tahfiz terbabit.
BACA LAGI: Empat suspek gagal pecah rumah di Kluang, lelaki maut cuba lolos diri dari polis
BACA LAGI: Mangsa rempuhan polis di Ipoh tunggang motor rakan — Saksi
“Siasatan awal mendapati pelajar itu kali terakhir dilihat berada di kawasan sekolah maahad tahfiz itu, kira-kira pukul 3 petang, kelmarin.
“Orang hilang (OH) kali terakhir dilihat memakai pakaian baju jersi warna merah jambu, berseluar trek warna biru gelap atau hitam,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Laporan berkaitan kehilangan Kasyfi Isyraq dibuat kira-kira jam 6.15 petang pada Jumaat. — PDRM
Bercakap mengenai ciri-ciri fizikal pelajar berkenaan, Naazron memberitahu remaja itu berketinggian kira-kira 155 sentimeter dengan berat badan 49 kilogram dan berambut pendek serta berkulit sawo matang.
“Kita pohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu terbabit untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan polis.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang melalui talian 03-89114222, atau pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin melalui talian 016-9985730,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram