Beraksi di SSI tidak menakutkan Afolabi, mahu bawa sesuatu usai aksi jumpa JDT


  • Podium
  • Ahad, 10 Nov 2024

Afolabi (kanan) menyedari kekuatan skuad JDT namun dia lebih bersemangat untuk bermain di SSI pada Ahad. — Facebook/PerakFC

BAYANGKAN terpaksa berhadapan dengan penangguhan dua kali perlawanan. Itulah yang berlaku kepada Perak FC dengan kini ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada motivasi dan keyakinan para pemain The Bos Gaurus (TBG).

Venue perlawanan Liga Super antara Perak dan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), yang ditunda ke 10 November telah ditukar dari Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Manjung ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkata, Perak diminta menamakan tempat alternatif berikutan risiko keselamatan untuk perlawanan berprofil tinggi itu jika ia dilakukan di Stadium Manjung.

BACA LAGI: [VIDEO] Goyang pinggul Sunday Afolabi jadi tumpuan, mungkin teruja nak jumpa JDT

BACA LAGI: Ikat kontrak 2 tahun, Perak FC perlukan telatah, semangat Sunday Afolabi

Walaupun ia seolah-olah tidak memberi kelebihan kepada Perak dek beraksi di laman lawan namun pemain tengah Perak dari Nigeria, Sunday Afolabi tidak terlalu gusar dengannya dan bersedia untuk perlawanan menentang pendahulu liga itu.

"Persediaan kami sudah dilakukan sejak perlawanan pertama sebelum ditangguhkan hingga ke saat ini. Jadi, kami sentiasa berjuang sebagai satu pasukan.

"Saya fikir ia adalah saat yang baik untuk kami menukar jadual kerana kami tidak bermula dengan baik selepas ia ditangguhkan kami mendapat keyakinan sebagai satu pasukan,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Meskipun Afolabi menyedari kekuatan skuad JDT namun pemain tinggi lampai itu lebih bersemangat untuk bermain di stadium pasukan dari Selatan tanah air berkenaan.

“JDT adalah pasukan terbesar di Malaysia, yang mana setiap pasukan amat menghormati mereka.

“Tetapi ini tidak bermakna kami tidak pergi ke sana untuk perkara sia-sia, kami pergi ke sana untuk mendapatkan sesuatu. Inilah sebabnya kami adalah pemain bola sepak,” jelasnya.

Afolabi telah bermain 12 perlawanan dalam semua pertandingan domestik, menjadi pilihan pertahanan untuk kelab Utara tanah air berkenaan.

Bekas pemain Leiria itu boleh ditempatkan sebagai bek tengah dan pemain tengah bertahan dan menjadi pemain utama untuk Seladang sejak 2022.

WhatsApp Image 2024-11-10 at 12.07.02

Pada 5 Oktober lalu, aksi Perak dan JDT ditangguhkan akibat hujan lebat dan permukaan padang yang tidak baik. — Facebook/PerakFC

Pemain berkenaan merasakan dia melakukan yang lebih baik musim ini, terutamanya dalam gandingan bahagian tengah dengan ketua pasukan iaitu Luciano Guaycochea.

“Saya ditugaskan untuk melakukan ‘kerja kotor’, yang membolehkan pemain lain melakukan tugas mereka dan kapten kami (Guaycochea) menjaringkan banyak gol, membantu kami mendapatkan mata.

“Kerja berpasukanlah yang memberikan hasil kepada kami. Kami mahu meneruskannya,” kongsinya mengenai peranan dalam skuad Seladang.

Pasukan kendalian Yusri Che Lah itu berada di tangga ketujuh liga dengan 17 mata, manakala JDT di tangga teratas dengan 37 mata daripada 13 perlawanan. —The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram