KELANTAN Warriors memulakan kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Penang dengan langkah kiri apabila menjadi pasukan pertama yang terkandas di peringkat Kumpulan B.
Skuad kendalian Rukman Mustapha itu tidak menampilkan persembahan yang baik apabila tewas kepada PDRM Defenders straight set 11-15, 15-17 dalam perlawanan pertama Kumpulan B dalam perlawanan yang berlangsung di SPICE Arena, Bayan Baru, Penang pada Rabu.
Mimpi ngeri itu tidak terhenti di situ sahaja apabila pasukan Pantai Timur tersebut sekali lagi terpaksa akur akan kekuatan Selangor Pistons selepas tewas dengan straight set 11-15,5-15 dalam aksi kedua kumpulan pada Khamis.
Susulan kekalahan tersebut, ramai penyokong Pantai Timur itu meletakkan kesalahan di bahu tekong import, Worapat Kaewtawatwiset.
Menurut mereka, persembahan tekong Thailand itu dilihat tidak begitu menjadi dengan tiada kepelbagaian servis hingga gerakannya mudah dibaca oleh pihak lawan.
Malah, ada penyokong yang mulai meluahkan kerinduan kepada tekong Kelantan Warriors sebelum ini iaitu Purached Yoosaen yang terpaksa kembali ke negara kelahirannya atas urusan kerja.
Bersama Kelantan Warriors, Purached pernah membantu pasukan itu mengejutkan peminat bola rotan apabila berjaya muncul juara bagi Divisyen 1 selepas menewaskan Selangor Pistons dalam aksi rubber set 15-21,15-17,10-15 Ogos lalu.
"Apa benda tekong Siam ni, servis tak cantik, gerakan senang dibaca, tiba-tiba pula rindu dekat Purached," kata Wan Nazrim.
"Kena perkemaskan servis lagi, panggil balik Purached, servis dia terbaik," kata Abe Dool.
"Tekong Siam ni buat hal sungguhlah, rindu pula dekat Purached, boleh ke panggil dia balik main untuk Kelantan Warriors," kata Mohamad Razlan.
Dengan kekalahan itu, Kelantan Warriors menjadi pasukan yang pertama tersingkir dalam aksi GP Penang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram