JOHOR Tigris menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Grand Prix (GP) Perak untuk layak ke suku akhir Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.
Mereka yang bertemu Bomba Fighters pada Jumaat menamatkan penantian untuk ke pusingan seterusnya selepas gagal berbuat demikian dalam dua edisi terdahulu di Selangor dan Terengganu.
Jadi, kejayaan berkenaan sekali gus membolehkan pasukan Selatan tanah air itu keluar daripada zon penyingkiran kerana mereka masih belum mengumpul sebarang mata setakat ini.
BACA LAGI: No 18 jadi klu, bekas tekong negara hampir sertai Johor Tigris
BACA LAGI: STL 2024: Johor Tigris kena 'comeback', peluang tipis ke suku akhir GP Perak
Namun, pencapaian itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai kerana apit kiri diturunkan, Lutfil Hadi Azmi mengakui pertembungan dengan pasukan tersebut mendatangkan kegusaran terhadapnya.
"Perasaan saya memang 'goyang' kerana dari awal permainan hatta pertandingan lagi, saya tak pernah diturunkan. Jadi, ini adalah hari pertama dan kita memang mengharapkan kemenangan.
"Jadi, ini adalah beban berat buat saya, tetapi alhamdulillah, apit kanan dapat membantu saya hari ini dan alhamdulillah, kemenangan berpihak kepada kami hari ini," katanya selepas perlawanan.
Sebelum ini, Johor Tigris sering menurunkan pemain kebangsaan, Farhan Adam sebagai apit kiri, namun pendekatan berbeza diambil ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan dalam aksi penutup itu.

Antara aksi menarik disaksikan semasa pertemuan Johor Tigris dan Bomba Fighters. — Facebook/STL
Kepercayaan diberikan kepada Lutfil jelas membuahkan hasil dengan dia membentuk gandingan cemerlang bersama Syahmi Syazwan Aziz sebagai apit kanan serta Udomsak Nakhowong sebagai tekong.
Lutfil turut menceritakan bagaimana dia tidak berdepan sebarang isu dari segi lambungan meskipun tidak memiliki tempoh panjang untuk bersama tekong Johor Tigris.
"Untuk lambungan pun sebenarnya pagi tadi baru dapat berlatih dengannya (Udomsak). Tetapi, dia bukanlah pemain yang memilih dengan dia mempunyai variasi tersendiri," katanya lagi.
Johor Tigris layak ke pusingan suku akhir bersama KPT-Masum Knights dari Kumpulan A dengan lawan masing-masing di peringkat seterusnya masih belum ditentukan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
