STL 2024: Johor Tigris kena 'comeback', peluang tipis ke suku akhir GP Perak


  • Podium
  • Khamis, 10 Okt 2024

Sebahagian aksi menarik antara pemain Johor Tigris dan KPT Masum-Knight dalam peringkat Kumpulan A. 

SELEPAS kecewa di Grand Prix (GP) Selangor dan GP Terengganu, hasrat Johor Tigris untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama dalam GP Perak terpaksa ditunda lagi ekoran kekalahan kepada KPT Masum-Knight pada Khamis.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, Ketua Jurulatih Johor Tigirs, Jamaluddin Hassan membariskan tekong import baharu, Udomsak Nakhowong, Farhan Adam (apit kiri) dan Syahmi Syazwan Aziz (apit kanan).

Manakala, KPT Masum-Knight yang dibimbing oleh Rul Amri Hashim pula mempertaruhkan Muhammad Amar Roslan (tekong), Aiman Hakim Zakari (apit kiri) dan Nur Haziq Norali (apit kanan).

BACA LAGI: No 18 jadi klu, bekas tekong negara hampir sertai Johor Tigris

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Dulu dikecam kini disayang, import Perak Bison cemerlang tundukkan Selangor Pistons

Johor Tigris vs KPT MASUM Knights_19

Kekecewaan jelas terpancar di wajah pemain Johor Tigris, Farhan Adam (kiri, jersi biru).

Anak-anak buah Jamaluddin itu hanya memerlukan 26 minit sahaja untuk meraih kemenangan pada set pertama 17-14.

Bersambung set kedua, pasukan kendalian Rul Amri dilihat menampilkan persembahan memukau apabila hanya 14 minit diperlukan untuk KPT Masum-Knight mengheret perlawanan ke set penentuan apabila meraih kemenangan mudah 15-6.

Dalam set penentuan, kedua-dua pasukan dilihat masing-masing saling berkejar mata untuk mendapatkan kemenangan sekali gus mencuri slot ke suku akhir.

Begitupun, KPT Masum-Knight memperkemaskan corak serangan dan pertahanan mereka untuk menoktahkan kemenangan dalam set penentuan 15-10 dalam masa 31 minit apabila tekong Johor Tigris membuat kesilapan berturut-turut sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada lawan.

Susulan kekalahan itu, peluang Johor Tigris untuk mara ke suku akhir semakin tipis apabila bakal bertemu Bomba Fighters pada 5 petang (Jumaat).

Sekiranya menang, pasukan Selatan itu akan mara ke suku akhir buat kali pertama selepas gagal melayakkan diri dalam dua pusingan GP sebelum ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram