
DERBI Pantai Timur menyaksikan Terengganu Turtles berjaya menoktahkan kemenangan 2-0 ke atas Kelantan Warriors dalam saingan Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) pada Khamis di Stadium Indera Mulia dekat Ipoh, Perak.
Terengganu yang meletakkan Teerapat, Aman dan Jazimin sebagai trio utama mempamerkan permulaan yang cemerlang dalam set pertama apabila mengutip mata menerusi servis tekong serta sentuhan dari apit kanan.
Kemenangan 15-11 membuka kelebihan untuk membawa cabaran ke suku akhir sekaligus meletakkan sasaran untuk kembali ke pentas final seperti yang dilakukan ketika beraksi GP Terengganu.
BACA LAGI: STL 2024: 'Batal atau tidak?' Challenge minit akhir cipta drama aksi Kelantan Warriors-NS Antlers
Set kedua skrip berbeza ditampilkan Terengganu sehingga Kelantan berhasil memanfaatkannya untuk aksi lebih cemerlang dan berjaya mendahului permainan menerusi kesilapan yang ditampilkan lawan.
Bagaimanapun, pertukaran dalam percaturan permainan regu Terengganu membenarkan pasukan berkenaan kembali bangkit mengikat kedudukan 11-11 sebelum menoktahkan kemenangan dengan keputusan 15-11 ke atas skuad kendalian Suhairi.
Meskipun berhasil menang ke atas Kelantan, wakil pemain Terengganu iaitu Jazimin mengakui taktikal mereka kurang menjadi disebabkan perasaan ragu-ragu dari tekong import mereka.
"Set pertama tadi taktikal kurang menjadi disebabkan Teerapat banyak memikir. Selepas itu baru terus menjadi," katanya memetik video temu bual yang dimuat naik oleh Sepak Takraw League (STL) pada laman Facebook.
Dalam pada itu, kekalahan Kelantan pada perlawanan berkenaan pula menaikkan kemarahan penyokong mereka sehingga menuding jari kepada pihak pengurusan.
"Pengurusan teruk, pasukan tiada perubahan. Pasukan lain pula meningkat, pasukan Kelantan makin teruk," kata penyokong, Mohd Shazwan Ashraf.
"Kelantan ini sesuai main divisyen pertama. Tiada mood nak tengok Kelantan main dah," tambah penyokong Kelantan, Ahmad Jafridin.
"Kelantan ikut peraturan ping pong mata kemenangan adalah angka 11," jelas penyokong, Ejark Hasam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram