VAR negara di landasan terbaik standard FIFA, bakal latih 3 pengadil wanita — FAM


  • Podium
  • Isnin, 30 Sep 2024

Menurut FAM, pengendalian VAR serta prestasi pengadil adalah sangat cemerlang bagi September.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) ingin menekankan bahawa setiap program pembangunan pengadil dan pengoperasiannya adalah berasaskan kepada penanda aras yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FAM dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pelaksanaan program pembangunan pengadil dan operasi Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Malaysia (Liga M) adalah berasaskan kepada standard operasi serta protokol VAR yang diiktiraf oleh FIFA.

Berhubung perlawanan-perlawanan Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan ‘Challenge Cup’ yang menggunakan Sistem Teknologi VAR, setakat ini sebanyak 80 perlawanan bagi musim 2024/2025 ini telah menggunakan teknologi tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Gol Ronnie bukan nasib, kami perlu buat sesuatu lepas Tomi masukkan 2 bintang TFC — Nidzam Jamil

BACA LAGI: [VIDEO] Bantu Kelantan Warriors mara suku akhir, tekong import Thailand ucap selamat tinggal

Nazmi

Nazmi menjadi pengadil asing kedua digunakan di Liga 1 Indonesia.

Menurut FAM, pengendalian VAR serta prestasi pengadil adalah sangat cemerlang bagi September.

"Purata ‘On-field Review’ (OFR) adalah 0.57 ‘per match’ dan jumlah masa tambahan yang diguna untuk ‘VAR Review’ adalah 2.27m 'per match'.

"Mengikut garis panduan AFC, bilangan OFR dan masa tambahan ‘VAR Review’ di liga kita berada pada paras terendah. Ini bermakna penggunaan VAR di Liga Malaysia pada ketika ini berada pada landasan yang terbaik sepertimana standard operasi VAR yang ditetapkan oleh FIFA," katanya.

Di samping itu, FAM dan MFL juga akan memulakan latihan VAR ‘Batch ke-2’ bermula Oktober 2024 dan dijangka akan tamat pada Februari 2025 dan barisan pengadil VAR fasa kedua itu terdiri daripada pengadil dan penolong pengadil yang muda dan berpotensi.

"Seramai 21 Pengadil akan dilatih sebagai pengadil VAR, 21 Penolong Pengadil sebagai ‘Assistant Video Assistant Referee’ (AVAR) dan 12 orang dilatih sebagai ‘Replay Operator’ (RO).

"Pada kali ini seramai tiga pengadil wanita akan turut dipanggil menyertai latihan ini iaitu Cik Nurul Ain Izzatty Binti Zainal sebagai Pengadil VAR, Cik Nur Akmal Binti Anuar dan Cik Munirah Ha Ali sebagai pengadil AVAR. Ketiga-tiga mereka ini diiktiraf sebagai ‘AFC Women Elite Referee’," tambahnya.

Sementara itu, pujian turut diberikan kepada Muhammad Nazmi Nasaruddin yang menunjukkan satu prestasi cukup cemerlang pada final Piala FA 2024/25 antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Ogos 2024 lalu.

Nazmi berjaya membuktikan bahawa dia antara pengadil terbaik selepas mengadili perlawanan Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 di antara pasukan DPR Korea bertemu Qatar di Vientiane, Laos pada 10 September lalu.

Bukan itu sahaja, kecemerlangannya sebagai pengadil profesional terus meningkat akan diamanahkan untuk mengadili perlawanan Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 di antara pasukan Australia bertemu China di Adelaide 10 Oktober nanti.

Sebagai rekod, Nazmi telah dijemput oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk mengadili perlawanan BRI Liga 1 Indonesia di antara pasukan Persib Bandung bertemu Persija Jakarta di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 23 September lalu.

Kecemerlangannya mengadili perlawanan dengan tegas dan adil mendapat pujian daripada negara jiran yang sekali gus menjadi kebangsaan buat FAM dan seluruh rakyat Malaysia.

Selain Nazmi, AFC juga telah melantik Razlan Joffri Ali dan Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah untuk mengadili perlawanan-perlawanan AFC Champions League Two (ACL2) and juga Piala Shopee (Kejuaraan Kelab ASEAN). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram