PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mara ke separuh akhir Malaysia Masters 2024 selepas tiga tahun apabila mengejutkan bintang Denmark, Anders Antonsen pada Jumaat.
Sebagai pemain nombor 10 dunia, Zii Jia yang masih segar daripada memenangi kejuaraan Terbuka Thailand minggu lepas dilihat berjuang dengan cemerlang untuk menewaskan Antonsen dalam perlawanan yang berlangsung selama 83 minit di Arena Axiata di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Zii Jia yang diberi sokongan padu penyokong tuan rumah, mencatat kemenangan 21-15, 19-21, 21-11.
Ia merupakan kemenangan ketiganya menentang pemain nombor empat dunia, Antonsen dalam lapan pertemuan antara mereka dengan kejayaan pertama diperolehi dalam Kejohanan Malaysia Masters 2020.
Zii Jia yang memburu kejuaraan pertama di negara sendiri akan berdepan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong di pentas separuh akhir pada Sabtu. Ka Long mengejutkan pilihan ketiga, Li Shi Feng dari China 21-13, 21-15.
Pencapaian terbaik Zii Jia yang berusia 26 tahun dalam Malaysia Masters adalah peringkat separuh akhir pada 2020 apabila dia tunduk kepada Kento Momota yang muncul juara.
Bagaimanapun, kempennya berakhir awal dalam edisi lain apabila tersingkir di pusingan pertama pada 2017 dan pusingan kedua pada 2018 dan 2023, dia tidak mengambil bahagian pada 2022, manakala pada 2021 pertandingan itu telah dibatalkan akibat pandemik Covid-19. — The Star/ R. KIRUBASHINI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram