Lepas selesai prosedur skin alograf, Faisal Halim tak terima pelawat


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mei 2024

Ramai yang memberi sokongan kepada Faisal (kiri) untuk kembali kuat selepas insiden itu. — Facebook/FAM

PENYERANG sayap kebangsaan, Faisal Halim yang kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan ketiga tidak dibenarkan menerima pelawat.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pemain Harimau Malaya tersebut perlu berada dalam pemantauan rapi untuk tempoh dua minggu akan datang.

Menurutnya, prosedur pemindahan kulit sihat ke kawasan tubuh yang mengalami kelecuran (alograf kulit) dilalui Faisal pada Jumaat lepas, memerlukan pemain itu diasingkan daripada orang biasa.

BACA LAGI: Lagi suspek ditahan, tangan kiri Faisal Halim tiada reaksi, percakapan terbatas

BACA LAGI: Kenapa nak tutup mulut Faisal Halim semata-mata jadi jujur?'

“Faisal masih lagi ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan berada dalam keadaan stabil namun tempoh dua minggu mendatang ini sangat penting dan kritikal memandangkan prosedur alograf kulit ini memerlukan Faisal diasingkan dengan pemantauan rapi dan ketat oleh pasukan perubatan.

“Faisal juga tidak dibenarkan menerima sebarang pelawat dalam tempoh pemantauan ini. Proses rawatan dan pemulihan dijangka mengambil masa yang agak panjang namun demikian Faisal kini semakin bersemangat dan amat menghargai doa serta keprihatinan masyarakat dan peminat-peminat di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 5 petang.

Sementara itu, motif serangan masih belum dapat dipastikan namun, terdapat banyak spekulasi, dengan ada yang menggelarnya sebagai perbuatan khianat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram