[VIDEO] Berhasil elak Thailand, trofi pusingan pertama mungkin kekal di Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 25 Apr 2024

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader (tiga dari kiri) menyerahkan sijil ahli kepada Presiden PSM, Mohd Sumali.

PIALA Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 tampil dengan kelainan berbeza berbanding edisi sebelum ini apabila Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memperkenalkan trofi pusingan pertama untuk kejohanan antarabangsa berkenaan.

Difahamkan edisi kali ini juga merupakan satu-satunya Piala Dunia Sepak Takraw yang memiliki trofi untuk acara berpasukan, sekali gus menjadi sejarah baru sukan sepak takraw.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, trofi pusingan itu antara perubahan membanggakan pada edisi kali ini dan ia akan disimpan oleh pemenang selama setahun dan perlu dikembalikan kepada badan induk berkenaan.

“PSM amat berbangga pada kali ini kerana Malaysia telah pun mengadakan satu trofi Piala Dunia. Trofi ini akan digunakan untuk mana-mana Piala Dunia, akan dibawa ke negara lain Ini satu sejarah baru,” katanya.

Mohd Sumali berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Undian Sepak Takraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.

Selain trofi, Piala Dunia Sepak Takraw yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur juga menyaksikan Malaysia mewujudkan acara baharu iaitu team event.

BACA LAGI: Sistem 15 mata luaskan peluang, sasaran final Piala Dunia berpatutan — Ahmad Jais

Trofi yang pertama kali diperkenalkan itu berkemungkinan akan menjadi milik Malaysia selepas skuad tanah air memanfaatkan wild card tuan rumah untuk memilih kumpulan lebih awal dan sekali gus mengelak berdepan Thailand di peringkat lebih awal.

Mohd Sumali tanpa berselindung berharap Malaysia mampu melangkah ke pentas final dalam kesemua acara dengan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Mengenai peluang kita selamat atau tidak, bila sudah dalam Piala Dunia, peluang itu semua ada tetapi untuk pasukan negara, Insya-ALLAH pasukan negara boleh buat terbaik.

“Harapan saya dan juga peminat negara, sudah pasti kita mahu ke final sebab kita kan tuan rumah. Kita akan cuba sedaya upaya untuk mencapai kejayaan paling maksimum di pentas berprestij ini,” tambahnya.

WhatsApp Image 2024-04-25 at 21.23.44

Sebanyak 12 pasukan bertanding untuk kategori Premier.

BACA LAGI: Perak Bison makin 'terbiasa', sistem 15 mata bagus cuma perlu tambah set

Kedudukan Malaysia sebagai naib johan pada Piala Dunia Sepak Takraw 2022 di Korea Selatan meletakkan skuad tanah air dalam Kumpulan B dan diundi bersama China dan Brunei bagi acara regu.

Menerusi majlis undian berkenaan turut menyaksikan Malaysia akan bersaing menentang Brunei dan Jepun bagi acara berpasukan. Manakala, acara team event pula menyaksikan Brunei dan Jepun sebagai pesaing Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram