KURANG sebulan lagi, pasukan Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada 10 Mei nanti.
Aksi sulung Liga Super itu dijangka menjadi tumpuan seluruh negara apabila pemenang juga bakal menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain memberikan tiga mata penuh buat pemenang.
Namun begitu, sebelum aksi tersebut perlawanan pra musim di antara Perak dan Selangor turut menjadi penantian kedua-dua penyokong selepas empat bulan liga berhenti berehat pada Sabtu ini.
Perlawanan persahabatan yang dijadualkan di Stadium Perak, Ipoh itu sudah pun mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong tuan rumah.
"Go Perak, kita ajar team Asia cara main bola," kata Ikhwan Ismail.
"Bakal menjadi perlawanan epik Malaysia, ini yang ditunggu-tunggu peminat bola sepak seluruh negara," jelas Apachai Hopachai.
"Mari tengok siapa yang kena," ujar Goku Majumia.
Perlawanan pra musim di antara Perak dan Selangor pada Sabtu ini.
Manakan tidak sejak beberapa tahu kebelakangan ini, apabila kedua-dua pasukan ini bertembung pasti ada insiden-insiden luar padang yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan penyokong.
Malah ada sesetengah insiden yang melibatkan pihak berkuasa menahan penyokong yang bertindak di luar kawalan.
Pada tahun lalu, kedua-dua perlawanan timbal balik Liga Super melibatkan Perak dan Selangor dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan.
Malahan pihak berkuasa pernah menahan 23 individu termasuk remaja yang disyaki memukul lima penyokong pasukan Selangor sehingga mengalami kecederaan patah tangan.
Selain itu rekod kekalahan 4-0 di tangan Selangor untuk kedua-dua perlawanan Liga Super pasti akan diingati oleh penyokong The Bos Gaurus untuk membalas dendam dalam perlawanan persahabatan itu.
Bekas bintang Selangor, Wan Zack Haikal juga pasti menjadi tumpuan kedua-dua penyokong selepas dia pernah berkhidmat bersama Gergasi Merah sebelum menyertai skuad Yusri Che Lah pada 2022.
Pada pertembungan pertama Liga Super pada musim lalu, Ayron del Valle menjadi pemusnah Perak apabila menjaringkan dua gol dengan Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal masing-masing menyumbat satu jaringan.
Manakala pada pertembungan kedua Liga Super, Shahrul Nazeem, Mukhairi Ajmal, Yohandry Orozco dan Ayron del Valle mengulangi luka 4-0 Perak di halaman sendiri.
Untuk info, perlawanan melibatkan Perak dan Selangor diberi gelaran 'El Clasico Malaya' oleh penyokong bola sepak negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram