[VIDEO] Azeem Fahmi beri 'duit raya Aidilfitri', harumkan nama tanah air lepas raih emas di AS


  • Podium
  • Ahad, 14 Apr 2024

Hari Raya kali ini merupakan tahun ketiga Azeem Fahmi (tengah) menyambut Aidilfitri berjauhan dari keluarga. — Instagram/AzeemFahmi

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi beri 'duit raya Aidilfitri' istimewa buat Malaysia apabila merangkul pingat emas acara 4×100 meter (m) dalam saingan Tom Jones Memorial Invitational di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.

Kejohanan Trek dan Padang yang dianjurkan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) itu menyaksikan Azeem Fahmi mendapat kepercayaan untuk menjadi sebahagian pelari kuartet 4x100 meter (m) mewakili Universiti Auburn.

Kuartet Universiti Auburn turut diperkuat Favour Ashe, Dario Matau dan Kanyinsola Ajayi untuk melepasi garisan penamat menerusi catatan masa 38.64 saat (s) bagi mengatasi Louisiana State University (LSU).

Sementara itu, pingat gangsa acara berkenaan dimenangi oleh kuartet pelari pecut dari University of Kentucky yang menamatkan larian di tempat ketiga dengan catatan masa 38.96s.

Pingat emas yang diraih Azeem Fahmi bersama rakan sepasukannya itu menunjukkan bahawa pengorbanan pelari tanah air itu yang tidak menyambut Aidilfitri membuahkan hasil dan diharap keputusan positif akan terus mengiringinya.

Sambutan Hari Raya kali ini merupakan tahun ketiga Azeem Fahmi menyambut Aidilfitri berjauhan dari keluarga. Kali pertama dia merindui Hari Raya di Malaysia ialah pada 2022 ketika beraksi di Sukan SEA.

Tahun lalu pula, Azeem Fahmi terpaksa menyambut Hari Raya di perantauan kerana tahun pertamanya melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraga di Universiti Auburn.

Dalam pada itu, bagi acara 100m pula, pelari pecut kelahiran Teluk Intan, Perak berkenaan sekadar merekodkan catatan masa 10.44s yang menyaksikan Azeem Fahmi menghuni kedudukan ke-22 daripada 75 orang peserta.

Keputusan tidak berpihak kepada Azeem Fahmi itu membuatkan pelari berusia 20 tahun berkenaan perlu menunggu lagi untuk mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 kerana dia perlu melepasi had kelayakan 10s. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram