KEDAH Darul Aman (KDA) FC tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan tujuh tenaga import pada musim baharu ini bagi membantu memperkuatkan Sang Kenari pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bermula Mei ini.
Setakat ini, pasukan kendalian Nafuzi Zain itu sudah membawa masuk tiga bintang import iaitu tonggak sayap, Sukhrob Nurulloev dari Uzbekistan, pemain antarabangsa Haiti, Sony Norde dan jeneral, Habib Haroon.
Pencarian pemain import masih bersambung lagi dengan Nafuzi sendiri mendedahkan akan menandatangani seorang penyerang import untuk melengkapkan pasukannya pada musim baharu ini.
Khidmat tenaga import di bahagian hadapan Kedah itu diperlukan bagi membuka lagi peluang untuk Kedah mencetak banyak jaringan gol dan tidak terlalu bergantung dengan penyerang tempatan Syafiq Ahmad.
Pemain kelahiran Bayan Lepas itu menyertai Kedah secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kehadirannya disambut baik oleh penyokong Hijau Kuning.
Berdasarkan khabar angin yang sedang bertebaran, Kedah difahamkan akan membawa masuk penyerang kelahiran Serbia namun selagi hitam putih tidak termeterai, skuad Hijau Kuning pasti mempunyai calon lain.
Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga calon penyerang termasuk seorang pemain kelahiran Serbia;
1) Stefan Scepovic
Memetik laporan Semuanya Bola, pasukan Hijau Kuning difahamkan bakal mendapatkan seorang penyerang tulen baharu dari Serbia namun nama bakal tonggak baharu berkenaan tidak lagi didedahkan.
Sejak pendedahan dari portal berkenaan, pelbagai nama mula dikaitkan dengan Kedah dan salah satunya ialah penyerang Muangthong United, Stefan Scepovic.
Jika melihat kontraknya yang akan tamat pada Jun ini, Scepovic berpotensi untuk menjadi rekrut terbaharu Hijau Kuning dengan Kedah tidak perlu mengeluarkan duit lebih menebus kontraknya.
Bagaimanapun, Kedah masih perlu menunggu sehingga kontraknya tamat untuk mendapatkan khidmatnya dengan penantian itu akan berlanjutan sehingga jendela perpindahan kedua akan datang.
Scepovic bukan sebarang pemain apabila berpengalaman beraksi dengan kelab Serie A, Sampdoria; pasukan Scotland, Celtic; dan kelab-kelab di Sepanyol seperti Getafe dan Malaga.
Walaupun agak sedikit berusia namun Scepovic masih mampu bersaing dengan penyerang lain di Liga 1 Thailand dengan dia menyumbang 10 jaringan gol buat Muangthong dalam masa hampir setahun.
2) Willian Lira
Penghijrahan Willian Lira ke bumi Thailand sememangnya mengubah karier Lira menjadi lebih positif selepas dia dilihat banyak memberi sumbangan kepada Chonburi FC dalam masa setahun.
Seperti baru-baru ini, pemain kelahiran Brazil berkenaan mencipta sensasi meledak tiga gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Sukhothai FC bagi saingan Liga 1 Thailand Stadium Chonburi UTA, Chonburi, Thailand.
Hatrik dalam masa 13 minit dari Lira itu bukan sahaja meraih pujian daripada penyokong Chonburi, malah peminat bola sepak domestik turut memuji mutu permainan yang ditampilkan pemain berkenaan.
Prestasi konsisten dan cemerlang itu membuatkan sebahagian penyokong menginginkan Lira kembali ke bumi Kedah bagi membantu barisan hadapan
Untuk rekod, pemain berusia 30 tahun berkenaan mencetak 13 jaringan gol dan dua hantaran bantuan dalam 21 perlawanan Lira diturunkan.
3) Samuel Rosa Goncalves
Penyerang dari kelab Liga Thailand, PT Prachuap FC, Samuel Rosa Goncalves sesuai untuk menjadi penyerang import Kedah pada jendela perpindahan ini.
Samuel Rosa berpengalaman bermain di Liga Arab bersama Al-Nassr, pasukan Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors dan beberapa kelab di Thailand pastinya bakal memberikan satu suntikan kepada skuad Sang Kenari.
Pemain berusia 33 tahun berkenaan mencatatkan tujuh gol dan lima hantaran bantuan dalam pelbagai penampilan bersama pasukannya dalam saingan domestik Thailand.
Penyerang kelahiran Brazil itu juga pastinya tidak akan mengambil masa banyak untuk menyesuaikan diri dengan saingan domestik kerana perbandingan Liga Thailand dan Malaysia tidak jauh beza. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram