[VIDEO] 'Sahur Nguyen', fans Garuda lancar mercun depan hotel pasukan Vietnam


  • Podium
  • Khamis, 21 Mac 2024

Pemain Vietnam menjadi mangsa gangguan letupan mercun oleh penyokong Indonesia. — VFF

DALAM konteks bola sepak Asia Tenggara, kita mempunyai pelbagai permusuhan melibatkan hampir kesemua negara.

Jika Malaysia mempunyai permusuhan dengan Indonesia, kita turut bermusuh dengan jiran seperti Singapura dan Thailand dalam bola sepak.

Begitu juga Indonesia, mereka turut mempunyai permusuhan dengan negara lain selain Malaysia. Di Asia Tenggara, mereka turut mempunyai permusuhan dengan negara seperti Vietnam.

Vietnam diakui antara kuasa besar bola sepak Asia Tenggara. Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan mereka bersama-sama Thailand sering menguasai bola sepak di rantau ini.

Seperti Malaysia, Indonesia turut tidak menyukai Vietnam kerana kelakuan mereka serta perang saraf yang diberikan di dalam dan luar padang.

Corak permainan licik yang kemudiannya memerangkap lawan sering membuatkan Indonesia menjadi mangsa ketika bertemu Vietnam. Disebabkan itu, kegembiraan penyokong Garuda jelas terpancar apabila mereka berjaya menewaskan Vietnam pada Piala Asia 2023 kerana akhirnya skuad kendalian Shin Tae-yong itu berjaya mengatasi The Golden Warriors.

BACA LAGI: [VIDEO] Kena seru nama Syihan Hazmi dulu baru bintang Singapura boleh 'score' gol

BACA LAGI: MFL semak status kewangan kelab tiap-tiap bulan, serius perangi isu gaji

Kini sekali lagi bertemu dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, penyokong Garuda memastikan Vietnam tidak senang duduk terutamanya menjelang aksi perlawanan yang diadakan pada Khamis.

Dalam satu video yang tular di laman X (Twitter), terdapat satu rakaman yang menyaksikan penyokong Indonesia membakar mercun di depan hotel penginapan skuad Vietnam.

Tindakan membakar mercun tersebut adalah dengan tujuan untuk menganggu tidur para pemain Vietnam sehari sebelum perlawanan diadakan.

"Sahur Nguyen!!," jerit penyokong Indonesia yang 'mengejutkan' para pemain Vietnam dengan letupan mercun.

Perbuatan tersebut ibarat ingin membalas dendam terhadap layanan yang diberikan buat skuad Indonesia ketika mereka bertandang ke Vietnam.

Sebelum itu, skuad Indonesia pernah diberikan padang latihan yang amat buruk dengan padang dipenuhi pasir serta berlubang ketika beraksi menentang Vietnam pada 2022.

Perbuatan yang dilakukan oleh penyokong Indonesia itu sebenarnya adalah perkara biasa dilakukan oleh penyokong terutamanya kepada lawan yang tidak digemari sebelum perlawanan penting diadakan.

Ia sedikit sebanyak akan menganggu psikologi pemain serta masa rehat mereka kerana kekurangan waktu tidur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram