MELANGKAH ke era baharu dalam Liga Malaysia membuatkan badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) dilihat semakin serius dalam mengatasi masalah kewangan dalam kalangan kelab.
Selepas menyingkirkan Kelantan FC ke Liga M3, MFL turut bertindak menafikan tempat Perlis United FC dalam Liga Super 2024/2025 apabila tidak memberikan lesen kebangsaan buat Singa Utara.
Selain itu, dua kelab iaitu Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman FC masih dibenarkan untuk bertanding tetapi jika permasalahan mereka tidak diselesaikan, maka hukuman lebih teruk menanti.
Usaha MFL untuk memastikan maruah Liga Super terpelihara daripada isu kewangan tidak akan terhenti di situ. Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, mereka akan lebih agresif dalam memerangi perkara tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Kena seru nama Syihan Hazmi dulu baru bintang Singapura boleh 'score' gol
BACA LAGI: Malaysia boleh kembali ke 130 terbaik dunia jika tumpaskan Oman
Ghani berkata yang MFL akan terus menguatkan lagi pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) bermula musim ini.
"Kami akan melakukan pelaksanaan FFP pada musim ini yang menggantikan Program Kawalan Ekonomi (ECP). FFP ini direka dengan cara kita. Sebelum ini, kita ikut bulat-bulat ECP dari liga luar tetapi ia tidak begitu sesuai.
"Oleh itu, MFL akan melaksanakan FFP tetapi mengikut corak dan kemampuan liga kita sendiri. Insya-ALLAH, kelab akan mengisyithar jumlah perbelanjaan kepada MFL dan kami akan mengawalnya. Contohnya, kalau kelab itu ada RM10 juta, maka RM8 juta saja dibenarkan untuk perbelanjaan pasukan, bakinya adalah untuk pengurusan kelab," kata Ghani kepada Majoriti.
Menerusi pelaksanaan FFP ini, Ghani juga berkata yang MFL akan lebih tegas dalam memastikan kewangan setiap kelab berada dalam keadaan baik dan tidak 'sakit'.
Menurutnya, MFL akan mengadakan pemeriksaan secara bulanan mengenai tahap kewangan kelab. Sekiranya kewangan satu-satu kelab mula menunjukkan tanda-tanda akan ada masalah, masa itulah MFL akan bertindak.
"Kita ikut apa yang kita perhatikan. Bila kita minta kelab hantar dokumen, kami bertindak berpandukan itu seperti yang kami buat terhadap Kedah dan KL City. Kami tidak berlembut, ada pasukan yang telah pun keluar seperti Sarawak United, Kelantan.
"Seperti yang dikatakan oleh Datuk Hamidin Mohd Amin, pihak FIFA dan AFC sedang perhatikan liga kita tentang masalah gaji yang berlaku dalam liga kita.
"Jadi, pihak MFL akan mengambil langkah-langkah tertentu untuk pastikan ia tidak berlaku dengan lebih teruk. Kami berikan bantuan selesaikan masalah seperti tunjuk ajar dan sebagainya untuk pastikan masalah itu tidak akan berlaku atau dapat diatasi segera.
"Kalau dulu kita akan periksa kedudukan kewangan kelab setiap enam bulan sekali, tetapi kini kita akan lakukannya setiap bulan," ujar Ghani.
Ghani juga mengatakan MFL telah mempunyai garis panduan yang jelas mengenai tindakan yang bakal diambil jika kelab gagal memastikan tahap kewangan mereka berada dalam keadaan baik.
Namun begitu, ia hanya akan diumumkan kepada semua pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram