KEHIDUPAN bekas penjaga gol kebangsaan Indonesia, Kurnia Meiga kini cukup berbeza apabila dia kelihatan menjual kerepek untuk menyara kehidupan.
Ini selepas pemain berkenaan menderita penyakit di mata, Papilledema yang memaksanya menamatkan karier lebih awal dengan usianya kini baru sahaja 33 tahun.
Selain perlu mencari wang ringgit untuk membeli ubat-ubatan, dia yang menjual makanan berkenaan menerusi sesi live TikTok terpaksa berbuat demikian bagi menyara diri dan keluarga.
Namun, baru-baru ini, Kurnia sekali lagi ditimpa nasib malang apabila bekas isterinya, Azhiera Adzka Fatir membuat satu pendedahan mengenai sikapnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Derita penyakit mata, bekas keeper Indonesia paksa diri jual kerepek demi sara hidup
Berdasarkan satu perkongsian dalam saluran YouTube Denny Sumargo, wanita itu mengatakan pemain terbabit sering mengambil minuman keras serta curang terhadapnya.
Salah satu kejadian yang sememangnya mengejutkan adalah apabila Azhiera hanya diberikan tempat duduk biasa kerana tiket istimewa (VIP) dihadiahkan kepada wanita simpanannya.
Tindakan itu pasti akan mengguris hati bekas isteri terbabit yang sanggup turun ke stadium untuk memberi sokongan kepada Kurnia.
Malah, perbuatan curangnya itu hanya diketahui selepas dua tahun mereka mendirikan rumah tangga yang pastinya cukup mengecewakan buatnya.
BACA LAGI: Bekas GK kebangsaan Sang Garuda terpaksa jual medal demi ubati penyakit mata
Kurnia kini terpaksa menjual makanan ringan untuk menyara kehidupan.
Pasangan tersebut berpisah pada Mac 2023 dengan pertelingkahan kedua-dua pihak menjadi faktor di samping tabiat Kurnia mengambil minuman keras tidak dapat diterima mertuanya.
Kini, Kurnia hanya hidup sehelai sepinggang dan terpaksa meminta bantuan termasuk menjual kerepek secara live di media sosial memandangkan penyakit dihadapinya hampir membuatkannya buta secara kekal.
Sepanjang kariernya, penjaga gol itu sering diangkat sebagai antara yang terbaik di posisinya apabila pernah muncul juara Liga Indonesia bersama Arema FC di samping dipanggil mewakili negaranya.
Kurnia mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak pada 2017 ketika usianya baru sahaja mencecah 27 tahun akibat isu kesihatan dialaminya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram