KEHIDUPAN seorang pemain bola sepak ada pasang surutnya, kadang dihujani dengan wang ringgit namun bila di akhir karier ditimpa masalah kewangan sehingga memaksa mereka untuk mencari alternatif lain demi menyara diri dan keluarga.
Seperti yang berlaku kepada bekas penjaga gol kebangsaan Indonesia, Kurnia Meiga apabila tular menjual kerepek di laman TikTok bagi membantu untuk meneruskan kehidupan selepas tidak lagi bergelar sebagai seorang pemain.
Pemain yang pernah membawa pasukan kebangsaan Indonesia menjadi naib juara kejohanan Piala AFF pada 2010 dan 2016 itu difahamkan sudah bersara dari dunia bola sepak pada 2017 selepas disahkan menghidap penyakit di mata iaitu Papilledema.
Sejak daripada itu, Meiga yang kini berusia 33 tahun melakukan banyak perniagaan seperti menjual kerepek, jersi dan juga pingat yang pernah dimenanginya bagi memenuhi keperluan hariannya.
Meiga yang masih bergelut mendapatkan pendapatan tetap itu meraih simpati daripada penyokong bola sepak Indonesia apabila aktif memasarkan perniagaan kerepeknya di media sosial terutama TikTok.
Selain itu, Kurnia Meiga pun menjual beberapa peralatan sepak bolanya dulu, seperti sepatu, jersei, hingga sarung tangan di akun Instagram-nya @/egahermansyah. pic.twitter.com/0sIakPs9PY
— Regista (@registaco) March 2, 2024
Perniagaan kerepek itu diberi jenama 1KM yang merupakan gelaran bekas tonggak Arema FC itu ketika Meiga masih aktif bergelar sebagai pemain bola sepak profesional dari 2008 hingga 2017.
Memetik laporan CNN Indonesia, keadaan Meiga masih belum pulih daripada papilledema dan difahamkan bekas pemain terbaik Liga Super Indonesia 2009-2010 itu masih perlu menjalani pemeriksaan kesihatan mata secara berkala.
Dalam pada itu, pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi Ketua Umum, PSSI Erick Thohir pernah memberikan bantuan untuk rawatan bekas penjaga gol skuad Sang Garuda berkenaan.
Selain itu, bekas penjaga gol terbaik Piala AFF 2016 itu turut pernah menerima bantuan modal perniagaan dan pengubahsuaian rumah menerusi program Yayasan Khidmat Bola Sepak Indonesia.
Untuk rekod, Meiga merupakan benteng terakhir ketika Indonesia menentang Malaysia dalam aksi final Sukan SEA 2011 yang menyaksikan skuad kebangsaan meraih pingat emas selepas menang 4-3 melalui sepakan penalti di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram