KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal akhirnya mengambil insiatif mewujudkan sebuah surau khusus untuk para pemainnya yang beragam Islam untuk menunaikan solat di Stadium Emirates, London, England.
Surau berkenaan merupakan fasiliti pertama didirikan di stadium berkenaan selepas 18 tahun gelanggang rasmi The Gunners itu dibuat bagi menggantikan Stadium Arsenal di Highbury. Untuk makluman, Stadium Emirates dibina dibuka pada July 22, 2006.
Perkembangan mengenai surau berkenaan dikongsikan oleh pemain tengah skuad The Gunners, Mohamed Elneny menerusi satu hantaran di platform media sosialnya pada Ahad dengan dia turut menjadi orang pertama merasmikannya.
Lebih menarik apabila perasmian surau Stadium Emirates itu juga dibuka pada hari pertama Ramadan yang lebih memudahkan buat para pemain beragama Islam untuk beribadah pada bulan suci ini.
Menerusi hantaran di media sosial, pemain antarabangsa Mesir itu menyifatkan bahawa ruang solat itu bakal memberi kesan positif buat para pemain terutama sebelum sepak mula perlawanan.
“Saya amat berbangga kerana telah merasmikan ruang solat pemain kami di Stadium Emirates.
“Mempunyai ruang ini untuk bermuhasabah dan berdoa akan mengubah kehidupan bakal pemain Arsenal. Saya amat berterima kasih kepada kakitangan dan semua yang terlibat dalam menjayakan perkara ini,” katanya.
Bukan hanya Elneny gembira dengan fasiliti terbaharu itu, para penyokong juga menghargai tindakan pihak pengurusan Arsenal yang semakin terbuka dalam memenuhi keperluan pemain beragama Islam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram