PENYERANG sayap kelahiran Myanmar, Hein Htet Aung sekali lagi berhasil memikat pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila dia disahkan berhijrah ke Paroi sebagai pemain pinjaman dari Selangor FC.
Dengan dua gol yang berjaya dilakukan pemain import dari Myanmar ini pada musim 2023 membuktikan kudratnya sentiasa diperlukan skuad Jang meskipun hanya bersama pasukan selama empat bulan sejak dipinjamkan tahun lalu.
Htet Aung turut berasakan keserasiannya bersama Negeri Sembilan juga bertambah baik selain berharap prestasinya akan terus meningkat dengan misi menambah jaringan gol pada musim ini, sekali gus membantu memperkuatkan serangan skuad Jang.
“Sangat bagus apabila dapat kembali berlatih dan sekarang adalah masa untuk mengenali pemain-pemain baharu yang datang ke sini.
“Sudah tentu saya sangat gembira apabila sekali lagi dapat dipinjamkan sebab saya pun dah pernah beraksi di Negeri Sembilan pada musim lepas dan saya tahu apa yang saya boleh buat di sini.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan yang masih percayakan saya dan saya memang ingin menjaringkan seberapa banyak jaringan atau pun dapat melakukan bantuan gol," katanya memetik laporan dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas pengendali Johor dedah tewaskan Gergasi Merah bukan misi balas dendam
Sejak menyertai Selangor pada musim 2021, Htet Aung mencetak tujuh gol.
BACA LAGI: Belum mahu 'gantung but', katanya Zaquan Adha bakal ke Lembah Klang?
Dengan kehadiran dua lagi pemain sayap seperti Ikhwan Yazek dari Kelantan FC dan bekas tonggak Penang FC, Hadin Azman ke skuad Jang, pemain berusia 22 tahun itu tidak merasa tercabar sebaliknya percaya persaingan yang sihat akan dapat meningkatkan lagi potensi dirinya untuk lebih bekerja keras.
“Saya rasa tiada masalah pun untuk saya bersaing dengan mereka dan gembira dengan kehadiran mereka ke sini.
“Kami pun sudah macam adik-beradik di sini dan persaingan yang sihat ini adalah untuk membantu kelab ini juga.
“Apa pun, sokongan penyokong juga amat penting kepada kami dan saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa ada untuk kami," jelas pemain yang mesra dengan sapaan Husin itu.
Htet Aung telah bersama Selangor FC sejak musim 2021 dengan tujuh gol telah diraih secara keseluruhan sehingga musim 2022.
Bagaimanapun, prestasinya semakin tidak menentu sejak awal musim lalu sebelum akhirnya dipinjamkan ke Negeri Sembilan pada awal Ogos 2023 bagi memberinya peluang untuk mengumpul minit permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram