[VIDEO] YouTuber acah-acah pro hampir patahkan kaki Kaka ketika aksi friendly


  • Podium
  • Ahad, 25 Feb 2024

Kaka merupakan salah seorang pemain terbaik dalam generasinya setelah memenangi Ballon d'Or pada 2007. — Agensi

LEGENDA bola sepak ternama, Kaka berdepan detik cemas dalam aksi persahabatan 'Match For Hope' di Qatar baru-baru ini setelah mengalami bentesan keras.

Dalam aksi yang dibintangi bekas pemain, seperti Roberto Carlos dan Eden Hazard itu, kehadiran pempengaruh YouTube terkenal, iShowSpeed lebih mencuri perhatian.

Individu yang dikenali dengan rasa cinta terhadap bola sepak tersebut diberi peluang berada di atas padang sebagai bintang jemputan untuk perlawanan amal berkenaan.

Namun, ketika perlawanan memasuki minit ke-26 permainan, iShowSpeed melakukan tindakan tidak sepatutnya apabila membentes Kaka dengan keras dari belakang.

Meskipun tidak menyebabkan sebarang kecederaan, ulang tayang perlahan menyaksikan kaki bekas pemain Real Madrid dan AC Milan itu hampir patah akibat terjahan berkenaan.

Bentesan kasar iShowSpeed hampir mematahkan kaki Kaka.

iShowSpeed atau juga dikenali ramai dengan Speed dikenakan layangan kad kuning, namun orang ramai berpendapat agar dia tidak lagi diberikan peluang berada di atas padang.

Kaka bagaimanapun dilihat terus tenang berikutan insiden tersebut dengan pemenang Anugerah Ballon d'Or 2007 itu kelihatan masih boleh berjalan dengan baik.

Sebelum ini, Speed atau nama sebenarnya Darren Jason Watkins Jr pernah melakukan bentesan kasar dalam aksi persahabatan ke atas seorang lagi pempengaruh terkenal, KSI.

Namun, insiden tersebut kurang diberikan perhatian kerana kedua-dua mereka bukanlah seorang ikon bola sepak seperti Kaka yang tidak perlu lagi diperkenalkan.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Ahmad bin Ali, Qatar itu menyaksikan kedua-dua pasukan berdepan untuk mengumpul derma bagi yayasan amal Education Above All (EAA).

Meskipun jumlah kutipan tidak didedahkan, kehadiran penyokong yang mahu menyaksikan legenda bola sepak pasti menyaksikan jutaan ringgit dikumpul hasil jualan tiket. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram