[VIDEO] Safee Sali Soccer School bukan 'biasa-biasa', platform terbaik pemain cilik terbang lebih jauh


  • Podium
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Safee Sali Soccer School yang pertama di Sepang ini menyasarkan seramai 250 orang pelatih. — AeonBigAlamanda

‘THE next Safee Sali’.

Demikian gambaran yang mudah untuk menerangkan penubuhan akademi bola sepak, Safee Sali Soccer School bagi membantu menjadi medan memperkembangkan bakat-bakat ubi muda tanah air.

Bekas penyerang kebangsaan tanah air, Safee Sali yang sudah mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional pada musim lepas itu akhirnya kembali bersama komuniti apabila menubuhkan akademi bola sepak berpangkalan di Bandar Serenia, Sepang, Selangor.

Pemain yang pernah mencipta nama di saingan Liga 1 Indonesia bersama Pelita Raya Jaya itu berkata, Safee Sali Soccer School bukan sekadar akademi bola sepak biasa namun ia mempunyai teknologi berbeza untuk membantu meningkatkan pembelajaran para pemainnya.

BACA LAGI: Safee Sali ‘tersenyum’ ada kelab dakwa gaji tunggak hanya 2 bulan

WhatsApp Image 2024-02-24 at 16.15.26

Safee (tiga dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Super Safee Soccer School di Rafa Serenia Football Turf, Sepang pada Sabtu.

"Ini adalah niat saya untuk menyumbang kembali kepada komuniti bola sepak tanah air dan dengan kerjasama yang diterima dari banyak pihak, saya sudah mempunyai perancangan untuk memperluaskan lagi akademi saya ini di seluruh negara.

"Saya menjanjikan perkara ini bukan sekadar akademi bola sepak yang biasa kerana ini adalah cara saya untuk menyampaikan pendidikan yang baik dengan penglibatan teknologi dan pangkalan data.

“Pengumpulan data adalah perkara yang penting untuk mencari Safee Sali seterusnya,” katanya kepada media pada Sabtu selepas Majlis Pelancaran Super Safee Soccer School di Rafa Serenia Football Turf, Sepang, Selangor.

Menurutnya, walaupun tidak menjanjikan untuk menjadi pemain profesional namun bekas penyerang yang sinonim dengan nombor 10 itu mempunyai akses untuk para pelatihnya melebarkan sayap ke akademi pasukan terkenal tanah air.

BACA LAGI: [VIDEO] Kalau ada kuasa, saya tolak penyertaan pasukan AFL — Safee Sali

"Di sini saya tidak menjanjikan seseorang untuk menjadi pemain bola sepak profesional tetapi saya mempunyai kenalan yang boleh membuka ruang kepada semua pelatih untuk pergi lebih jauh jika mereka mempunyai bakat yang boleh diketengahkan.

"Kami juga akan tekankan kepada generasi muda ini bagaimana hendak menangani tekanan serta memberikan pendidikan kepada ibu bapa untuk mengawal emosi mereka dan anak-anak kerana di sini pemain akan dinilai berdasarkan disiplin yang telah ditetapkan modul kami,” ujarnya.

Safee yang turut berancang untuk memperkembangkan akademi di daerah dan negeri lain berkongsi bahawa pembukaan Safee Sali Soccer School pertama di Sepang ini menyasarkan seramai 250 orang pelatih.

Bukan itu sahaja, bekas tonggak Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC itu juga sudi meluangkan masa untuk mengadakan kelas tambahan ataupun sesi one one untuk ubi muda yang berminat menimba ilmu di akademinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram