Impi trofi Piala Malaysia, Muslim Ahmad masih belum gantung but


  • Podium
  • Jumaat, 23 Feb 2024

Muslim tidak meraih sebarang minit permainan buat skuad Tok Gajah musim lalu. — Facebook/Sri Pahang FC

BEKAS pemain kebangsaan, Muslim Ahmad masih belum merancang untuk menggantung but sebaliknya mengimpikan untuk mengejar trofi Piala Malaysia sebelum bersara.

Selepas tujuh musim bersama Sri Pahang FC, Muslim Ahmad mengakui kelab itu antara yang paling banyak memberi pengalaman kepadanya dan berterima kasih kepada pihak pengurusan dan juga penyokong atas segala sokongan.

Namun, sudah tentu masih ada yang ingin dikejar sebelum dia bersara iaitu untuk menjulang trofi Piala Malaysia yang masih belum dicapai sehingga kini.

“Jujurnya, saya rasa satu benda lagi yang memang saya masih tak puas dalam bola sepak dan dah lama simpan dalam hati iaitu untuk meraih trofi Piala Malaysia.

“Rasanya dah empat hingga lima kali saya kalah di separuh akhir jadi memang tak pernah merasa untuk ke final Piala Malaysia.

“Jadi sebab itu saya rasa tak boleh nak berhenti lagi dan kalau boleh memang saya nak kejayaan itu dahulu”, tambahnya.

Pemain yang beraksi bersama Sri Pahang FC pada musim lalu kini aktif menjalani latihan dalam sukan Muay Thai sebagai persediaan menghadapi kejohanan di Kedah pada Sabtu.

Walau bagaimanapun, Muslim menegaskan dia hanya mahu mencuba sahaja dan masih belum memikirkan perancangan untuk terus mengaktifkan diri dalam sukan Muay Thai.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan Kedah, nama Brendan Gan dicanang jadi buruan Sri Pahang FC

Muslim Ahmad

Muslim bagaimanapun masih belum memikirkan perancangan untuk terus mengaktifkan diri dalam sukan Muay Thai.

BACA LAGI: Tengah nego baik punya, 'striker' muda KL City FC bakal sarung jersi Merah Kuning?

Bahkan, dia masih menanti dan tetap bersedia untuk bersama mana-mana kelab yang menginginkan khidmatnya bagi Liga Malaysia 2024-2025 ini.

Bahkan, tempoh masa yang ada sambil menanti saingan liga bermula pada Mei depan digunakan sebaiknya untuk pemain berusia 35 tahun ini mencuba sukan baharu di samping ingin meningkatkan daya ketahanan diri.

“Sebenarnya saya juga sudah biasa dengan sukan Muay Thai ini dan telah dikelilingi oleh orang-orang dari sukan ini juga sejak dari kecil jadi saya dah ada sedikit asas.

“Tetapi saya tidaklah cakap saya secara rasmi dah bersara dalam bola sepak, cumanya sekarang saya masih menunggu tawaran daripada mana-mana pasukan.

“Dan sambil menunggu, sebab itu saya ingin mencuba sukan Muay Thai dan bagus juga untuk saya sebab dapat tahu lebih dekat tentang sukan ini.

“Saya pun tak tahu berapa jauh saya boleh pergi dalam sukan ini tapi untuk kali pertama ini, saya dah berlatih dalam tujuh hari, agak mencabar juga tapi saya cubalah”, jelasnya.

Muslim sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan seperti Terengganu, Kelantan dan paling lama adalah bersama Sri Pahang FC bermula 2017 sehingga 2023.

Dia juga pernah membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF buat kali pertama pada tahun 2010 ketika dibawah bimbingan jurulatih, Datuk K. Rajagobal. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram