
SKUAD Harimau Malaya terus mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) apabila disenaraikan sebagai pasukan yang tidak disangka mampu mencipta kejutan dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.
Dalam artikel yang dikeluarkan di laman sesawang Fifa, Malaysia disenaraikan bersama empat lagi negara iaitu Comoros, Rwanda (dalam zon Afrika) serta Ecuador dan Venezuela (dalam zon Amerika Selatan) yang tampil cemerlang setakat ini.
"Pusingan kedua (kelayakan Piala Dunia) membabitkan pasukan AFC semuanya diketuai oleh pasukan berstatus gergasi seperti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi.
"Namun, Malaysia menonjol sebagai pasukan yang tidak dijangka dalam Kumpulan D. Mereka menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 pada November tahun lalu," kata artikel itu.
Skuad negara ketika ini mengungguli kumpulan D dengan enam mata selepas kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan itu.
BACA LAGI: Kem Oman bergolak, misi Malaysia ke Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 makin cerah
Tangkap layar ciapan Fifa memuji aksi cemerlang Malaysia di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
BACA LAGI: [VIDEO] Saya percaya mampu menyumbang buat negara — Romel Morales
Selepas ini, Malaysia bakal berdepan dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman yang dijadualkan berlangsung pada 21 dan 26 Mac nanti.
"Oman, yang berada di kedudukan ke-74 iaitu 56 anak tangga lebih tinggi di atas Malaysia dalam kedudukan ranking akan kekal sebagai pilihan untuk mengungguli kumpulan.
"Namun, pasukan Pan-gon mempunyai hak untuk memasang impian (mara ke pusingan seterusnya)," katanya.
Dalam pada itu, Harimau Malaya juga boleh memanfaatkan pergolakan yang berlaku dalam kem Oman dan sekali gus berpotensi untuk meraih keputusan positif dalam kedua-dua aksi tersebut.
Kem Oman bergolak apabila badan induk pasukan tersebut mengambil keputusan untuk melepaskan khidmat Ketua Jurulatih, Branko Ivankovic.
Ia susulan selepas kegagalan pasukan Oman untuk meneruskan perjuangan ke pusingan 16 saingan Piala Asia 2023 di Qatar. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram