[VIDEO] Prospek Indonesia suka 'spirit fighter' HM, anggap Arif Aiman ubi muda terbaik Asean


  • Podium
  • Selasa, 30 Jan 2024

Marselino (berjersi no.7) mencetak satu jaringan peribadi untuk Indonesia ketika tewas 1-3 di tangan Iraq. — Instagram/Marselino

SEMANGAT juang Harimau Malaya ketika berhasil berkongsi mata dengan Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia juga mendapat pujian daripada bintang muda negara jiran, Marselino Ferdinan.

Malaysia mendapat tumpuan penyokong bola sepak dunia apabila membuktikan bahawa perbezaan lebih 100 anak tangga tidak menghalang Malaysia memperoleh keputusan seri 3-3 menentang skuad Taeguk Warriors.

Tiga jaringan dari Harimau Malaya dicetak Faisal Halim pada minit ke-51, sepakan sempurna Arif Aiman Hanapi pada minit ke-62 dan pemain gantian, Romel Morales menyamakan kedudukan pada babak kecederaan.

Tidak hairanlah, Penyerang berusia 19 tahun berkenaan mengagumi persembahan cemerlang yang diberikan anak buah Kim Pan-gon dan akui terkejut dengan kebangkitan Harimau Malaya pada saat-saat akhir.

BACA LAGI: Piala Asia: Palestin terkeluar diiringi rasa bangga, kekaguman ramai

"Malah, saya melihat Malaysia sangat-sangat luar biasa apabila lawan Korea. Sangat mengejutkan apabila mereka juga bertarung dengan sangat gigih.

“Tetapi, untuk rakan-rakan Malaysia saya, kekalkan semangat anda dan terus mara ke hadapan," katanya memetik temu bual Harimau Malaya.

Dalam perkembangan sama, penyerang Liga Divisyen Dua Belgium, KMSK Deinze itu juga sempat memuji bakat tonggak sayap sensasi skuad kebangsaan, Arif Aiman Hanapi yang disifatkan salah seorang pemain muda terbaik Asia Tenggara (Asean).

Malah, prospek Indonesia berkenaan menyimpan hasrat untuk menyaksikan karier pemain Johor Darul Takzim (JDT) berkenaan akan lebih berkembang dan menjadi aset terbaik Malaysia.

WhatsApp Image 2024-01-30 at 20.31.59

Marselino salah seorang pemain muda menyerlah Indonesia. — Instagram/Marselino

BACA LAGI: Piala Asia: Klinsmann, Korea Selatan tidak mampu berdolak-dalik lagi

“Arif Aiman ​​sangat-sangat luar biasa. Bakat Asean yang luar biasa. Saya harap dia akan terus membangun dan menjadi lebih matang pada masa hadapan," kata Marselino.

Pemain muda skuad Garuda itu antara watak penting yang membantu Timnas Indonesia berjaya mara ke pusingan kalah mati Piala Asia 2023 Qatar.

Selain itu, Marselino juga mencetak satu jaringan peribadi untuk Indonesia ketika skuad kendalian Shin Tae-yong tewas 1-3 di tangan Iraq dalam aksi Kumpulan D pertama Piala Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram