Piala Asia: Palestin terkeluar diiringi rasa bangga, kekaguman ramai


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 30 Jan 2024

Palestin beraksi dalam pusingan kalah mati buat julung-julung kalinya dalam sejarah kejohanan Piala Asia. — Facebook/Palestin FA

BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

BANYAK hati yang luluh dengan tersingkirnya Palestin daripada pusingan 16 terakhir Piala Asia awal pada Selasa tapi skuad Fedayeen itu akan dikenang kerana pertunjukan bersemangatnya ketika berdepan tuan rumah dan juara bertahan, Qatar.

Ketua jurulatihnya, Makram Daboub, merakamkan sanjungan kepada barisan pemain yang dianggapnya “juara” selepas kekalahan 1-2 di Stadium Al Bayt di Al Khor itu.

Dalam satu pertemuan di antara dua “pasukan tuan rumah” dengan sokongan besar terhadap barisan pelawat, kesudahannya prestasi terkini dan pengalaman Qatar menjadi pemisah untuk mereka meneruskan kemaraan ke suku akhir.

Juara bertahan itu terdahulu layak ke pusingan kalah mati dengan menanggung beban jangkaan tinggi penyokong tuan rumah yang dibuai keyakinan daripada persembahan meyakinkan di peringkat kumpulan.

Dalam pada itu, Palestin – yang beraksi dalam pusingan kalah mati buat julung-julung kalinya dalam sejarah kejohanan ini – lebih dahulu mengenakan tekanan dengan permainan bersemangat.

Menyarung seragam serba putihnya, barisan pelawat itu mengambil kesempatan ke atas gerakan perlahan tuan rumah untuk melancarkan alunan serangan ke pintu gol Qatar.

Sebagai perbandingan, gerakan-gerakan Qatar di kawasan penalti Palestin pula agak terbatas – satu perancangan oleh Daboub yang dilaksanakan oleh pemain-pemainnya dengan hampir sempurna.

BACA LAGI: Piala Asia: Klinsmann, Korea Selatan tidak mampu berdolak-dalik lagi

WhatsApp Image 2024-01-30 at 19.12.43

Ketua jurulatih Palestin, Makram Daboub menyifatkan anak buahnya sebagai juara lepas berhasil mengharungi Piala Asia sehingga Pusingan 16. — Facebook/Palestin FA

“Pemain-pemain saya memberikan segala-gala yang mereka ada dan menafikan Qatar daripada mendapat banyak ruang pada permulaan permainan,” kata jurulatih itu dalam siding media seusai perlawanan seperti dilaporkan Al Jazeera.

Kesungguhan Palestin membuahkan hasil pada minit ke-37 apabila Oday Dabbagh menyudahkan satu jaringan solo cantik yang disusuli keraian yang menjadi identiti mereka – berpeluk tubuh dan membuat isyarat “V” dengan jari mereka.

Buat sebuah pasukan yang ditenggelami 4-1 oleh Iran dalam perlawanan pembukaan mereka dua minggu lalu, skuad Fedayeen itu telah mengharungi laluan panjang dan berliku untuk meletakkan salah satu pilihan kejohanan benar-benar dalam keadaan tertekan.

Bagaimanapun, pertahanan mereka tidak dapat melakukan banyak untuk membendung kapten tuan rumah, Hassan Al Haydos, daripada mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-45+6. Reaksi penyokong tuan rumah ketika itu ialah sorakan lantang kelegaan dan kegembiraan.

Akram Afif, pemain pujaan tuan rumah dan pendahulu senarai penjaring kejohanan, kemudian mengubah terus arus perlawanan selepas empat minit permainan bersambung dalam babak kedua dengan meledakkan sepakan penalti.

Palestin terus berhempas-pulas mencipta peluang untuk baki perlawanan tapi tiada yang dapat memberikan mereka kegembiraan diharap-harapkan.

Kepenatan daripada perjalanan ke pelbagai negara untuk mengadakan kem latihan, gangguan mental daripada peperangan di tanah air sendiri dan tekanan emosi untuk menghadirkan kegembiraan buat rakyat Palestin yang tertindas, kesudahannya terbukti terlalu berat untuk digalas mereka.

WhatsApp Image 2024-01-30 at 19.12.42

Akram mencetak satu jaringan buat Qatar dalam kemenangan 2-1 ke atas Palestin. — Facebook/Qatar FA

BACA LAGI: Piala Asia: Palestin bangkit dari runtuhan perang

“Pemain-pemain saya telah melalui tempoh yang menyukarkan tapi masih tetap bersemangat untuk menunjukkan permainan terbaik buat seluruh rakyat Palestin.

“Saya tidak dapat menagih lebih lagi daripada mereka. Mereka telah membanggakan bola sepak Palestin dan seluruh rakyatnya. Mereka semua adalah juara-juara saya,” kata Daboub.

Penyokong Palestin, yang jumlah mereka beberapa ribu untuk memberi sorakan kepada pasukan buat kali terakhir dalam kejohanan ini, bersepakat bahawa pasukan kesayangan mereka telah memberikan “lebih daripada secukupnya” untuk menghadirkan kegembiraan kepada penduduk di Gaza yang telah berdepan perang hampir empat bulan.

“Sekalipun jika mereka tidak menang sebarang perlawanan atau menyumbat sebarang jaringan, kami akan tetap berbangga dengan pasukan ini.

“Kami telah menunjukkan tiada apa yang dapat meruntuhkan semangat kami. Kalau pun kami diasak hingga maksimum, kami akan tetap berdiri dan melawan,” kata seorang penduduk Palestin di Qatar, Samar Ustaz, kepada Al Jazeera.

WhatsApp Image 2024-01-30 at 19.12.42-3

Para pemain Palestin meraihkan jaringan gol dengan membuat isyarat “V” dengan jari mereka. — Facebook/Palestin FA

Yousef Ayman, seorang lagi penyokong Palestin bersama keluarga di Haifa, berkata, segala-gala yang ditunjukkan pemain adalah lambang kepada semangat dan perjuangan rakyat Palestin.

“Kami masih mampu berdiri megah dalam mendepani apa juga cabaran,” katanya.

Sejurus wisel penamat ditiupkan, skuad Fedayeen itu mengambil beberapa ketika bagi menyerapkan suasana pertandingan dan berarak ke arah penyokong untuk memberi penghargaan kepada mereka.

Daripada perlawanan sulung dengan Iran dua minggu lalu hingga membawa kepada keputusan seri 1-1 dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), kemenangan beremosi 3-0 ke atas Hong Kong dan perlawanan sulung di peringkat kalah mati, bendera Palestin terus dikibarkan dengan megah.

Lebih daripada itu, sorakan yang menuntut kebebasan Palestin terdengar sangat nyaring dan jelas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram