Selangor-JDT dapat ‘lampu hijau’ guna 10 import, MFL uji sistem VAR lagi 3 bulan


  • Podium
  • Selasa, 30 Jan 2024

JDT dan Selangor dibenarkan untuk mendaftar seramai 10 pemain import pada musim depan. — Facebook/SelangorFC

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Selasa mengumumkan beberapa kemas kini melibatkan pelaksanaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dan pendaftaran pemain import menjelang musim baharu Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan akan bermula pada April ini.

Susulan pertukaran tarikh pemeriksaan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk sistem VAR yang sebelum ini dijadual pada Februari 2024 ke tarikh baharu pada 16 hingga 21 April 2024, tarikh sepak mula Liga M 2024-2025 dianjakkan seminggu bagi membolehkan MFL mengadakan siri perlawanan ujian sistem berkenaan.

“Siri perlawanan ujian VAR melibatkan kelab-kelab Liga Malaysia yang bakal diadakan pada 22 April hingga 5 Mei 2024 itu hanya boleh dilakukan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapat kelulusan daripada FIFA.

“Seperti pengumuman MFL sebelum ini, sistem VAR yang bakal digunakan dalam Liga Malaysia tahun ini berkonsepkan mobil VAR dan siri perlawanan ujian itu penting untuk MFL menguji kestabilan, kekukuhan dan ketahanan sistem VAR dalam perlawanan kompetitif yang disiarkan secara langsung.

“Malah perlawanan ujian itu juga penting untuk MFL menguji pergerakan mobil VAR ke venue-venue, pengurusan penyiaran, pemahaman pegawai dan pasukan serta tahap kesediaan kemudahan venue terlibat.

“Berikutan perubahan tarikh pemeriksaan FIFA tersebut, MFL terpaksa melewatkan tarikh sepak mula Liga Malaysia seminggu berbanding tarikh asal iaitu 3-5 Mei ke 10-12 Mei 2024.

“MFL kini dalam perbincangan bersama kelab-kelab yang terlibat dengan siri perlawanan ini dan maklumat lanjut mengenai perancangan ini akan diumumkan sebaik sahaja butiran telah dimuktamadkan,” jelas MFL dalam satu kenyataan rasmi pada Selasa.

BACA LAGI: Nekad ‘fight’ Syihan Hazmi, keeper kelab Lembah Klang optimis rebut minit permainan musim depan

VAR

MFL akan menguji sistem VAR pada April depan. — Facebook/MFL

Dalam pada itu, berdasarkan pengumuman mengenai Kejohanan Kelab Asean yang dijadualkan bermula tahun ini, MFL mencalonkan kepada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar kelab yang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga ke-3 dan ke-4 iaitu Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC untuk beraksi di Asean Club Championship (ACC) 2024.

Walaubagaimanapun, MFL masih belum menerima maklum balas AFF mengenai cadangan itu.

Tambah pengelola liga domestik itu, meskipun AFC dijangka akan mengumumkan peraturan pemain asing tanpa had untuk pertandingan kelab AFC, MFL membuat keputusan tidak akan mengikut kuota tersebut sebaliknya, MFL mengekalkan kuota sembilan pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025.

Difahamkan, hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 seperti Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC serta pertandingan kelab Asean (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu pemain import.

“Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL serta mendapat persetujuan oleh kelab-kelab Liga Malaysia yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

“Ini bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.

“Walaupun MFL menerima permintaan kelab Liga Malaysia, MFL bagaimanapun mengingatkan kepada semua kelab agar mengambil pemain import mengikut kesesuaian percaturan serta kemampuan kewangan masing-masing,” jelas MFL.

BACA LAGI: ‘Steady 4 bini’, Forestieri atasi peledak Tok Gajah dan bintang Serie A, topscorer Itali musim 2023

JDT

JDT menjadi wakil tunggal Malaysia yang akan beraksi di kejohanan ACLE. — Facebook/JDT

Dengan kalendar Liga M dilanjutkan musim ini bagi membolehkan transisi saingan liga domestik mengikut format kalendar AFC, MFL juga mengumumkan hanya pusingan 16 Piala FA kekal dimainkan secara pusingan satu perlawanan manakala pusingan suku akhir dan separuh akhir Piala FA akan ditukar format dengan dimainkan secara timbal balik (home & away).

Pertandingan Piala FA 2024-2025 bakal melibatkan penyertaan kelab Liga Super 2023 dan 2 kelab M3 yang akan dipilih oleh Amateur Football League (AFL).

Piala MFL pula akan menggunakan format liga satu kumpulan berbanding format dua kumpulan yang digunakan pada 2023. Perubahan format ini dilihat akan menyediakan lebih banyak perlawanan kepada pemain-pemain dan juga seperti yang diminta oleh kelab-kelab untuk meningkatkan kesediaan dan pendedahan pemain bawah 23 tahun (B23) sebelum diserap ke pasukan Liga Super pada bila-bila masa.

Bagi meningkatkan daya saing dan intensiti saingan Piala MFL, kuota pemain lebih umur dan pemain asing pertandingan ini juga akan dibuka untuk digunakan mengikut keperluan dan percaturan setiap kelab dengan maksimum tiga pemain asing dan dua pemain lebih umur di atas padang pada satu-satu masa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram