[VIDEO] 'Hero to zero', bintang Iraq dibuang padang gara-gara rai gol 'duduk makan'


  • Podium
  • Selasa, 30 Jan 2024

Tangkap layar momen Aymen dibuang padang oleh pengadil selepas meraika jaringan golnya menentang Jordan.

BEKAS juara edisi 2007, Iraq tersingkir dari kejohanan Piala Asia 2023 selepas tumpas 2-3 di tangan Jordan pada pusingan 16 terbaik di Stadium Khalifa International, Doha, Qatar pada Isnin.

Jordan yang dilabel sebagai pasukan underdog berhasil membuat kejutan ke atas skuad Lions of Mesopotamia menerusi jaringan dari Yazan Al-Naimat (minit ke-46), Yazan Al-Arab (95’) dan Nizar Al-Rashdan pada minit ke-97.

Manakala, Iraq yang pada awalnya mendahului permainan pula mencetak jaringan menerusi sumbangan dari Saad Natiq (68’) dan Aymen Hussein pada minit ke-76 perlawanan.

Selain keputusan mengejutkan berkenaan, perlawanan tersebut juga diwarnai dengan insiden kad merah yang diberikan kepada Aymen pada minit ke-77 iaitu usai penyerang itu meraikan golnya.

Pemain berusia 27 tahun itu mendapat kad kuning kedua yang membawa maksud kad merah itu akhirnya diarah untuk keluar padang oleh pengadil dari Iran, Alireza Faghani kerana gaya raikan jaringannya.

Menerusi potongan siaran langsung aksi berkenaan, Aymen dilihat melakukan sambutan dengan gaya duduk bersila sambil tangannya seolah-olah sedang menyuap makanan.

Memetik laporan dari ESPN, layangan kad berkenaan adalah kerana Aymen didakwa meniru gaya raikan gol pemain Jordan, Al-Naimat yang mana turut melakukan perkara sama pada separuh masa pertama.

Adalah mudah untuk mengandaikan Aymen berbuat demikian sebagai balas dendam kepada Jordan dan berdasarkan semakan, cara dia meraikan gol itu diletakkan sebagai kesalahan 'meraikan gol secara keterlaluan'.

Al-Naimat berlari keluar dari padang permainan sebelum berkumpul dengan empat rakan sepasukan yang lain dan melakukan gaya duduk bersila di belakang bangku pemain gantian sambil tangan mereka seperti sedang menyuap nasi.

Dalam pada itu, di suku akhir, Jordan akan bertemu Tajikistan yang sudah pun cipta sensasi dengan menyingkirkan Emiriah Arab bersatu (UAE). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram