[VIDEO] 'Celebrate' awal ingat dah menang, atlet Korea Selatan tewas 0.01 saat di Sukan Asia


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Cheol-won (kanan) meraikan kemenangannya terlalu awal beberapa detik sebelum melepasi garisan penamat. — Agensi

ATLET berkumpulan Korea Selatan dalam acara luncur kasut roda 3 kilometer (km) terpaksa berpuas hati dengan pingat perak sebaik tamat perlumbaan akhir yang mencuri perhatian di temasya Sukan Asia 2023.

Pelumba akhir, Jung Cheol-won dilaporkan tewas dengan perbezaan masa 0.01 saat kepada pelumba Taiwan, Huang Yu-lin apabila meraikan kemenangan terlalu awal.

Atlet berusia 27 terbabit dilihat berdiri sambil meraikan kedudukannya yang berada di hadapan, sekali gus membolehkan pesaingnya melunjurkan kaki ke arah garisan penamat.

Berdasarkan catatan akhir, kontinjen daripada Korea Selatan mencatatkan masa 4:05:702 sementara lawan mereka merekodkan masa perlumbaan 4:05:692.

Perbezaan berkenaan menyaksikan atlet Korea Selatan, iaitu Cheol-won, Choi In-ho dan Choi Gwang-ho gagal membawa pulang pingat emas.

Berkata kepada media selepas perlumbaan pada Isnin, Cheol-won mengakui dirinya sudah melakukan kesilapan sehingga merugikan pasukannya serta negaranya dalam acara itu.

"Saya meminta maaf kepada rakan-sepasukan serta penyokong yang tidak berhenti memberikan sorakan kepada kami. Kami sudah berusaha dengan keras, tetapi ini adalah salah saya," katanya.

Kegagalan untuk muncul sebagai pemenang pingat emas menyaksikan ketiga-tiga wakil Korea Selatan itu terpaksa menjalani latihan ketenteraan mandatori.

Bagaimanapun, ia serba sekali tidak memberi kesan terhadap jumlah pengumpulan pingat buat negara berkenaan yang sudah meraih 33 pingat emas, 47 pingat perak dan 77 pingat gangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram