TERJAHAN keras dalam bola sepak adalah perkara yang sering berlaku dalam sukan berkenaan dan lebih parah lagi apabila tindakan tersebut boleh mengakibatkan seorang pemain mengalami kecederaan serius.
Jika disoroti pelbagai kisah terjahan keras, pasti insiden bekas ketua pasukan Bawah-17 tahun (B-17) Tanzania, Abraham Morris yang mengalami kejadian tersebut di Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) lebih enam tahun lepas akan terlintas dalam fikiran penyokong.
Ketika perlawanan Tanzania menentang Burundi dalam kejohanan Afcon B-17 2018, Morris mendapat terjahan keras ala sepakan karate dari pemain pasukan lawan yang mana menyebabkan dia terjatuh dan mengalami kecederaan.
Dengan Tanzania mendahului Burundi 2-1 pada masa kecederaan, Morris cuba untuk berlari ke bawah tetapi gerakannya dihentikan serta-merta oleh pemain Burundi yang cuba merampas bola dari penguasaan kapten itu.
Menambah derita Morris dalam perlawanan berkenaan apabila pemain lawan itu memijak Morris yang berada dalam keadaan tidak bermaya terbaring di atas padang ekoran kecederaan yang dialaminya sebelum itu.
Apa yang lebih menaikkan amarah penyokong Tanzania dan barisan kejurulatihan pasukan apabila pengadil perlawanan tidak melayangkan sebarang kad kepada pemain Burundi tersebut walaupun jelas berlaku terjahan keras.
Tanpa mempedulikan sikap acuh tak acuh pengadil, Morris yang cedera memilih untuk bangkit daripada kesakitan sebelum wiset penamat berbunyi dan akhirnya kemenangan 2-1 memihak kepada Tanzania. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram