Dimalukan Iraq, fans Indonesia mengeluh tiada bintang dalam timnas seperti Arif Aiman dan Akhyar Rashid


  • Podium
  • Selasa, 16 Jan 2024

Iraq tidak mempunyai masalah mendapatkan tiga mata ketika menentang Sang Garuda. — Facebook/IraqNationalTeam

INDONESIA bermula langkah kiri apabila dibenam Iraq 1-3 dalam aksi Kumpulan D Piala Asia 2023 di Stadium Ahmad bin Alim, Qatar pada Isnin malam.

Anak-anak buah Jesus Casas bermain dengan tempo permainan laju apabila tidak teragak-agak untuk menguasai lebih 70 peratus permainan pada babak pertama perlawanan.

Selepas percubaan demi percubaan dilakukan, Iraq akhirnya tidak melepaskan peluang apabila Mohanad Ali mencetak jaringan pertama buat pasukannya pada minit ke-17.

Marcelino Ferdinand berhasil membuat gol penyamaan selepas satu hantaran lereng dari Yakob Sayuri memberi keseimbangan dalam perlawanan berkenaan pada minit ke 37.

Di penghujung aksi separuh masa pertama perlawanan, pemain berjersi nombor 20, Osama Rashid memberi kelebihan kepada Iraq untuk masuk dengan senyuman ke bilik persalinan.

Pada minit ke-75, dengan ledakan kencang, pemain gantian, Aymen Hussein meletakkan Iraq di kedudukan selesa untuk mengatasi penjaga gol Indonesia, Ernando Ari pada separuh masa kedua.

WhatsApp Image 2024-01-15 at 23.48.11

Kesebelasan utama Indonesia menentang Iraq. — Facebook/TimnasIndonesia

Kekecewaan penyokong skuad Sang Garuda membuatkan ada sebahagian daripada mereka mempersoalkan barisan pemain yang dipilih oleh pengendali pasukan, Shin Tae-yong dalam perlawanan menentang Iraq.

Pemilihan pemain Indonesia sebelum ini sememangnya mendapat kritikan terutamanya apabila pengendali Korea Selatan berkenaan mengugurkan penyerang sayap lincah, Saddil Ramdani pada persiapan akhir mereka.

Tindakan Tae-yong itu dipersoalkan pengikut pasukan kebangsaan Indonesia kerana Saddil merupakan pemain sayap yang mempunyai pengalaman dan rekord yang cemerlang bersama Sabah FC.

Selain pemilihan pemain, ada juga sebahagian penyokong Indonesia mengeluh tiada bintang Sang Garuda yang mempunyai kemahiran seperti beberapa tonggak Harimau Malaya seperti Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid dan Dion Cools.

“Masalah timnas tiada pemain dribble power macam Arif Aiman Malaysia,” kata penyokong, Budi Wiguna.

“Kecewa tengok pemain main, lepas ini nak layan Malaysia pula,” kata penyokong Indonesia, Rouf yang menanti aksi pemain Harimau Malaya.

Selepas ini, Sang Garuda akan mendapat tentangan daripada jaguh bola sepak Asia Tenggara, Vietnam dalam perlawanan Kumpulan D seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram