
KEJOHANAN Piala Emas Khir Johari 2024 (PEKJ) bakal jadi medan buat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memilih 15 pemain Bawah 21 tahun (B-21) yang akan menyertai skuad Malaysia B tahun ini.
Sesi pemilihan yang akan berlangsung selama enam hari itu akan dikendalikan ketua jurulatih Malaysia B, Mohd Futra Abdul Ghani dengan dibantu oleh ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, lapor Stadium Astro.
Selain itu, PSM juga bakal menjadikan PEKJ sebagai platform pemilihan baki empat lagi pemain yang akan diserap ke skuad utama lelaki dan sekali gus melengkapkan 18 pemain keseluruhan.
Untuk rekod, Piala Emas Khir Johari edisi ke-57 tahun ini akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah dari 22 hingga 27 Januari ini.
Pada edisi sebelum ini, Johor merangkual kejuaraan Piala Emas Khir Johari dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula diangkat sebagai naib juara musim 2022.
Johor mencatat sejarah dengan menggondol Piala Emas Khir Johari pertamanya pada 11 Disember 2022 selepas menewaskan ATM 2-0 (9-21, 21-18, 21-15) dan (14-21, 21-14, 21-19) di Stadium Titiwangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram