[VIDEO] Gelagat penjaga parkir Kejohanan Golf Jemputan Dubai buat warganet tak kering gusi


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Tangkap layar gelagat seorang penjaga parkir menyambut pengunjung di Kejohanan Golf Jemputan Dubai 2024 yang akan berakhir pada Sabtu.

ACARA Jelajah Dunia DP yang pertama pada tahun ini menyaksikan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi Kejohanan Golf Jemputan Dubai menjadi tuan rumah dengan perlawanan diadakan di Dubai Creek Golf & Yacht Club.

Kejohanan itu juga menandakan pembukaan bahagian International Swing fasa Global Swings musim ini dengan yang pertama daripada tujuh acara di seluruh Asia dan Afrika antara Januari dan Mac.

Selain perlawanan yang menjanjikan wang kemenangan lumayan itu dan permainan cemerlang dari setiap bintang golf antarabangsa itu, gelagat seorang penjaga parkir di acara berkenaan juga sempat mencuri tumpuan ramai.

Menerusi video tular di media sosial, seorang penjaga parkir di venue berkenaan mendapat pujian daripada orang ramai apabila dia kelihatan ceria menyambut pengunjung yang tiba di Kejohanan Golf Jemputan Dubai itu.

Rata-rata penyokong golf dan sukan lain teruja dengan layanan lelaki berkenaan terutamanya apabila melihat gelagatnya yang menari ketika menyambut pengunjung sehingga ada melabelnya sebagai lelaki paling gembira di muka bumi.

Tidak kurang juga, ada warganet yang berharap agar lelaki berkenaan diupah untuk bekerja di kejohanan sukan berbeza bagi mendapatkan suasana gembira sebelum menyaksikan perlawanan yang penuh dengan tekanan.

"Sepatutnya lelaki ini diupah untuk Aussie Summer Nats pada minggu lepas," kata pengguna akaun, Zane Matsumoto.

"Kan seronok kalau lelaki ini jaga parkir di acara lain," tambah pengguna akaun, Amy Beth Smith.

Kejohanan itu yang diadakan setiap dwitahunan pada 2024, 2026 dan 2028 itu pada kali ini akan berlangsung bermula Rabu sehingga Sabtu ini dengan kini pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy mengekalkan pendahuluan dua pukulan di Jemputan Dubai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram