Saya minta maaf — Tze Yong


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Tze Yong terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Malaysia selepas mengalami kecederaan serius di peringkat awal. — BWF

HASRAT pemain perseorangan badminton negara, Ng Tze Yong untuk memberi persembahan terbaik dalam Terbuka Malaysia 2024 tidak kesampaian apabila mengalami kecederaan ketika berdepan atlet Jepun, Koki Watanabe.

Masalah itu sekali gus menyaksikannya terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka India yang sepatutnya berlangsung pada 16 sehingga 21 Januari ini.

Keputusan untuk menarik diri tersebut diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan jurulatih negara, Rexy Mainaky mengharapkan atlet kelahiran Johor itu dapat kembali ke latihan secepat mungkin.

Situasi berkenaan pasti menyebabkannya kecewa apabila harapan besar diletakkan di bahu pemain di kedudukan ke-15 dunia tersebut, lebih-lebih lagi dalam saingan Terbuka Malaysia.

Perasaan terbabit turut dikongsikannya menerusi satu hantaran di Instastory peribadinya dengan dia memohon maaf kepada kesemua pihak atas persembahannya yang kurang memuaskan baru-baru ini.

BACA LAGI: Lepas tersungkur awal Terbuka Malaysia, Zii Jia sahut cabaran BAM

WhatsApp Image 2024-01-13 at 21.38.02

Tangkap layar daripada hantaran Tze Yong yang menceritakan kekecewaan dialaminya.

"Saya minta maaf kepada pihak penaja dan kesemua penyokong yang masih menyokong meskipun persembahan saya tidak memuaskan ketika Terbuka Malaysia PETRONAS 2024.

"Saya akan terus memberi sepenuh perhatian terhadap proses penyembuhan dan lebih bersemangat dalam pertandingan akan datang. Terima kasih semua," tulisnya.

Dalam aksi berdepan Watanabe, Tze Yong tidak bernasib baik kerana dia mengalami kecederaan semasa melakukan pukulan 'overhead' ketika kedua-dua mereka terikat tujuh sama.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu masih berusaha sebelum terpaksa menarik diri ketika kedudukan 8-12 apabila dia dilihat gagal menahan kesakitan.

Untuk rekod, tiada wakil negara akan beraksi di pentas separuh akhir Terbuka Malaysia selepas dua wakil terakhir iaitu beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kandas di pusingan suku akhir pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram