MENJELANG aksi pembukaan Piala Asia berdepan Jordan pada 16 Januari ini, persiapan sedang giat dilakukan skuad kendalian Kim Pan-gon dalam sesi latihan di Qatar.
Sesi yang mengumpulkan kesemua 26 pemain Harimau Malaya itu difahamkan mula diadakan dengan intensiti lebih tinggi agar mereka yang dipanggil lebih bersedia untuk situasi permainan.
Tidak cukup dengan itu, persiapan lebih rapi turut diadakan apabila pasukan negara bakal berdepan Syria dalam satu aksi persahabatan tertutup pada Isnin.
Meskipun tidak memberi kesan terhadap kumpulan mata FIFA, pertembungan itu boleh dianggap cukup penting dalam memastikan anak-anak buah Pan-gon berada di tahap terbaik.
Harimau Malaya pernah menjalani aksi persahabatan menentang Syria tahun lalu. — Facebook/FAM
Bagaimanapun, sebahagian besar penyokong beranggapan perlawanan berkenaan masih belum cukup dalam mempersiapkan pasukan untuk mendepani saingan Piala Asia nanti.
Antara cadangan yang membanjiri media sosial adalah apabila mereka mahu skuad kebangsaan mengharungi dua perlawanan persahabatan sebelum berdepan Jordan.
Tetapi, kesalahan akan hal itu tidak boleh diletakkan di bahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Pan-gon kerana perancangan awal menyaksikan Harimau Malaya akan berdepan Arab Saudi dalam satu lagi perlawanan persahabatan.
Bagaimanapun, pengurus pasukan Timur Tengah tersebut, Roberto Mancini memilih untuk membatalkannya dengan alasan terdapat kemungkinan kedua-dua negara bertemu di peringkat kalah mati.
Wan Jamak melihat peluang negara dalam Piala Asia kali ini tidak boleh dipandang remeh.
Situasi itu menyebabkan ramai penyokong berasa khuatir sekiranya persiapan dilakukan skuad kebangsaan tidak mencukupi sehingga bakal memberi tamparan kepada kempen mereka.
Isu terbabit juga diakui pemerhati bola sepak tanah air, Wan Jamak Wan Hassan yang negara pasukan lain pastinya membuat perancangan lebih mendalam.
BACA LAGI: Arif Aiman kini sebaris tonggak PSG, disenarai AFC dalam senarai 5 bintang muda Piala Asia
"Jika kita lihat Piala Asia, ia merupakan pertandingan cukup besar dan persiapan setiap pasukan pastilah begitu baik, termasuk mengadakan aksi persahabatan dan latihan begitu komprehensif.
"Tetapi, apa nak buat, kita hanya dapat mengadakan satu perlawanan sahaja. Jika mahu diikutkan, persiapan itu memang tak cukup, namun apa yang ada tu, kita perlu laksanakan juga," katanya kepada Majoriti.
Jordan merupakan lawan pertama bakal dihadapi negara untuk kempen Piala Asia kali ini. — Facebook/Jordan FA
Pasukan kendalian Pan-gon difahamkan sudah mengadakan sesi latihan berpusat sejak awal Januari lalu dengan keputusan itu membantu pemain menyesuaikan diri.
Selepas berdepan Jordan, skuad kebangsaan akan berdepan Bahrain dan Korea Selatan dalam misi negara melayakkan diri ke peringkat kalah mati buat kali pertama.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peluang negara untuk melepasi Kumpulan E, Wan Jamak berkata, setiap pasukan memiliki kebolehan tersendiri.
"Pada saya, semua negara, iaitu Korea Selatan, Bahrain dan Jordan ada peluang. Tetapi, apa yang lebih penting adalah persiapan fizikal dan mental pemain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram