SEBUT sahaja nama Bambang Pamungkas, pasti penyokong tanah air khususnya pasukan Selangor FC cukup mengenali pemain kelahiran Indonesia yang pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) suatu ketika dahulu itu.
Bekas pemain kebangsaan Indonesia yang kini sudah menganjak usia 42 tahun itu pernah bergelar penyerang skuad Gergasi Merah dari 2005 hingga 2007 yang mana merupakan tahun terbaik mereka.
Bambang antara watak penting membantu pasukan berkenaan muncul sebagai pasukan negara yang pertama mencatatkan gelaran treble apabila menjulang tiga trofi dalam satu musim iaitu pada 2005.
Kehadiran Bambang membantu di bahagian serangan memberi kesan mendalam kepada skuad Gergasi Merah sehingga dilaporkan pengaruh penyerang itu juga mampu menarik penyokong memenuhi stadium setiap perlawanan.
Namun, siapa sangka Bambang hakikatnya bukanlah pilihan pertama Selangor untuk dibawa masuk pada musim 2005, sebaliknya Kurniawan Dwi Yulianto.
Kurniawan pernah menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih Sabah. — Agensi
Kurniawan juga merupakan legenda Indonesia dengan sebelum ini pernah menjadi jurulatih Sabah FC pada musim 2019 hingga September 2023.
Perkara berkenaan dikongsikan sendiri oleh Bambang ketika satu sesi temu bual bersama sebuah podcast Indonesia, Sport77 yang berjaya menarik perhatian ramai pihak.
"Sebenarnya yang Selangor nak ambil ialah Kurniawan. Tapi disebabkan Kurniawan tidak dilepaskan oleh Persebaya. Jadi bekas pengurus Persebaya, Almarhum Haji Santo cadangkan saya. Jadi, saya pun pergi ke Selangor.
"Tujuan mereka mungkin memang sebab prestasi saya. Namun lebih dari itu Selangor ingin membuat satu sport business iaitu apabila ada import Indonesia boleh meramaikan penyokong Indonesia," katanya.
Pertukaran pemain itu nyata berbaloi apabila Bambang pernah mencatatkan nama sebagai penjaring terbanyak Piala FA dan Liga Perdana, selain pemain terbaik liga pada tahun 2005.
Terdahulu, Bambang juga pernah menegaskan bahawa momen terbaik dalam kariernya sebagai pemain adalah ketika menyarung jersi skuad Gergasi Merah.
"Jika ditanya apakah musim terbaik saya selama berkarier, maka jawapannya bukanlah bersama Persija (Jakarta) kerana musim terbaik dalam karier saya adalah pada 2005.
"Ia ketika di mana saya bermain di Malaysia bersama Selangor dan saya muncul sebagai juara Liga Super, juara Piala FA, juara Piala Malaysia dan juara Piala Sultan Selangor," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram