PERUBAHAN jadual Liga Super pada musim depan memaksa banyak pasukan untuk menstrukturkan semula status kewangan bagi kelangsungan jangka panjang.
Johor Darul Takzim (JDT) antara pasukan yang sudah mula melakukan pemotongan bajet sebanyak 30 hingga 40 peratus (%) untuk menghadapi musim depan.
Jika Harimau Selatan yang mempunyai bajet besar dalam Liga Super mengambil keputusan untuk mengurangkan bajet mereka musim depan, pastinya pasukan lain juga menghadapi situasi sama untuk menghadapi saingan liga.
Tidak perlu pergi jauh untuk mencari import berkualiti, negara jiran, Indonesia antara lubuk untuk mendapatkan pemain bertaraf Eropah berdarah Asean.
Selain Jordi Amat dan Sandy Walsh ini merupakan tiga pemain 'mix blood' baharu Indonesia yang wajar jadi buruan kelab Liga M musim depan:
1. Jay Idzes
Pemain kacukan Belanda-Indonesia, Jay Idzes baru mendapatkan kerakyatan bersama negara jiran yang membolehkannya beraksi untuk Sang Garuda pada tahun depan.
Musim ini, Idzes beraksi untuk kelab Itali, Venezia selepas meninggalkan Liga Belanda setelah hampir 10 tahun bermain di negara kelahirannya itu.
Pemain pertahanan berusia 23 tahun itu mempunyai hubungan dengan Indonesia menerusi datuknya yang lahir di Semarang, Jawa Tengah.
Untuk rekod, Idzes pernah beraksi untuk skuad muda PSV Eindhoven, VVV-Venlo dan FC Eindhoven sebelum diserapkan ke pasukan senior FC Eindhoven serta Go Ahead Eagles.
2. Thom Haye
Pemain terbaharu kacukan Indonesia, Thom Haye akan menjadi pemain termahal yang dimiliki skuad negara jiran itu.
Haye kini merupakan tonggak utama kelab Belanda, SC Heerenveen yang telah beraksi sebanyak 16 perlawanan dan menjaringkan dua gol dan dua assist musim ini.
Pemain berusia 28 tahun itu banyak menghabiskan masa dengan skuad muda Belanda daripada pelbagai peringkat umur.
Beraksi di posisi tengah bertahan, Haye memiliki kualiti dan fizikal yang baik untuk pasukan yang mendapatkan khidmatnya.
3. Justin Hubner
Bekas rakan sepasukan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan di Akademi Wolverhampton Wanderers FC, Justin Hubner menjadi rekrut terbaharu Shin Tae-yong untuk menjadi gandingan Jordi Amat di Indonesia.
Pemain berusia 20 tahun itu pernah melakukan debut bersama skuad muda Indonesia pada tahun lalu menentang Perancis B-20 dan Slovakia B-20.
Hubner kini beraksi bersama skuad muda Wolverhampton Wanderers dan tampil dalam 13 perlawanan dan menjaringkan empat gol musim ini.
Pemain berketinggian 1.87 meter itu akan menyertai skuad senior Indonesia untuk ke Piala Asia 2023 Qatar pada tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram