Tiada masalah untuk Malaysia layak ke pusingan 16 Piala Asia — Natxo Insa


  • Podium
  • Isnin, 01 Jan 2024

Natxo percaya Malaysia berpeluang untuk layak ke pusingan 16. — Facebook/FAM

NATXO Insa pemain tengah berketurunan Sepanyol-Malaysia, yang gembira terpilih menyertai Harimau Malaya, bertekad untuk melakukan yang terbaiknya dalam membantu Malaysia, di Piala Asia 2023 di Dota, Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari.

Dengan pengalaman 20 tahun sebagai pemain bola sepak profesional, pemain Johor Darul Takzim berusia 37 tahun itu berkata, dia kini lebih matang dan mampu mengekalkan ketenangannya pada perlawanan bertekanan tinggi, yang tentunya akan dapat dimanfaatkan oleh skuad bimbingan Kim Pan-gon itu.

"Saya gembira untuk berada di sini, ini kejohanan yang penting, jadi saya jangka saya akan dapat membantu pasukan untuk mencapai keputusan terbaik. Dengan pengalaman 20 tahun dalam bola sepak profesional, dari segi ketenangan, saya boleh lihat pergerakan dengan lebih baik tetapi secara jujurnya, kita mempunyai pasukan yang amat bagus.

"Kita ada pemain yang bagus, pemain muda, juga pemain lebih muda yang bermain banyak perlawanan tahun ini - mereka mempunyai pengalaman yang bagus, jadi saya rasa ia akan jadi yang terbaik untuk semua,” katanya ketika ditemui sebelum pasukan berlepas ke Doha, Qatar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit, akan memulakan kempen Kumpulan E mereka, dengan menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.

Baca Lagi: Bintang Sabah pertahan kehadiran Natxo Insa dalam kem HM

natxo

Natxo ketika ditemui sebelum pasukan berlepas ke Doha, Qatar di KLIA pada Ahad. — Facebook/FAM

Walaupun akan berhadapan dengan pasukan berkedudukan lebih tinggi dalam kumpulan itu, Natxo percaya Malaysia berpeluang untuk layak ke pusingan 16.

"Tentunya mereka (pasukan lawan) merupakan pasukan yang bagus, tetapi saya rasa kita juga mempunyai pasukan yang bagus... jadi kenapa kita tidak boleh melepasi peringkat kumpulan. Saya rasa kita perlu percaya dan lihat satu perlawanan demi satu perlawanan dan bekerja keras,” katanya.

Hanya juara dan tempat kedua setiap kumpulan, bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik, akan layak ke pusingan 16 di Doha.

Malaysia tidak pernah layak ke pusingan 16 Piala Asia pada tiga edisi sebelum ini.

Sementara itu Natxo berkata, pasukan kebangsaan ketika ini telah menjadi lebih profesional dari kesemua segi, berbanding kali terakhir beliau bersama pasukan itu pada 2018.

Natxo yang pernah bermain untuk Malaysia ketika pasukan itu seri 2-2 bersama Mongolia pada 2018 berkata, apa yang telah dilakukan sekarang ini menjadikan pemain lebih baik dan boleh menjadi teladan untuk generasi baharu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram