Tewaskan wakil 9 negara, Anson, Jing Xuen juara keseluruhan Johor Junior Golf Masters 2023


  • Podium
  • Ahad, 31 Dis 2023

Anson (kanan) dan Jing Xuen bersama trofi selepas masing-masing muncul juara keseluruhan pada Kejohanan JJM 2023.

KEJOHANAN Johor Junior Golf Masters 2023 (JJM2023) yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada Jumaat lalu menyaksikan dua pemain Malaysia, Anson Yeo dan Jing Xuen muncul juara keseluruhan bagi kategori lelaki dan perempuan.

Menerusi kenyataan dari JJM, kejohanan bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh Southern Amateur Golf Club (SAGC) dan mendapat perkenan daripada Yang Amat Mulia, Tunku Aris Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar selaku Presiden Johor Golf Association (JGA).

Acara yang mempamerkan bakat-bakat muda itu berlangsung selama tiga hari di The Els Club, Desaru Coast, Johor Darul Takim dengan ia turut mendapat sokongan dari Persatuan Golf Malaysia (MGA), Kementerian Belia dan Sukan, dan Tourism Johor.

Selain Malaysia yang menjadi tuan rumah, terdapat sembilan lagi negara yang turut serta dalam kejohanan JJM23 iaitu Thailand, Singapore, Vietnam, India, China, Indonesia, Korea, Amerika Syarikat dan juga Kanada.

Bukan hanya menerima saingan sengit daripada beberapa negara, para pemain juga diuji apabila perlu beraksi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di dalam kejohanan ini.

271223_JJM_1st Round_Ash-294

Kejohanan antarabangsa itu mendapat sokongan dari MGA, Kementerian Belia dan Sukan, dan Tourism Johor.

Walaupun dengan cabaran sebegitu rupa, pemain Malaysia bagi kategori A, Anson Yeo berjaya merangkul kejuaraan tersebut selepas meninggalkan pesaing terdekatnya yang juga rakan senegara, Rizq Adam Rohizam dengan kelebihan enam pukulan.

“Eagle di lubang ke 3 dan birdie di lubang ke 18, memastikan beliau membawa pulang gelaran juara keseluruhan kategori lelaki dalam kejohanan itu selepas menewaskan pemain India, Kartik Singh, dari kategori lelaki B, dengan kelebihan 2 pukulan,” jelas kenyataan berkenaan.

Manakala, bagi kategori perempuan pula, dengan berbekalkan enam pukulan sebelum bermulanya hari terakhir kejohanan, Jing Xuen memastikan dia layak merangkul kejuaraan untuk kategori B dan keseluruhan dengan menewaskan pemain China, Ren Yijia.

Namun begitu, pada hari terakhir kejohanan, pemain muda perempuan itu menunjukkan kekurangan tumpuan apabila hanya berjaya mencatatkan 73 pukulan.

“Bagaimanapun, pada hari terakhir Jing Xuen hilang tumpuan dengan hanya mencatat 73 pukulan. Tetapi, dengan hanya berbekalkan kelebihan 1 pukulan sudah mencukupi buat Jing Xuen untuk mengatasi pemain China, Ren Yijia yang muncul naib juara,” tambah kenyataan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram