TONGGAK sayap skuad kebangsaan negara, Safawi Rasid mahu meninggalkan legasi berkekalan dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak untuk anak lelakinya yang baru lahir pada September lepas.
Walaupun mengalami dua tahun yang sukar kerana kekurangan masa bermain dengan Johor Darul Takzim (JDT) dan juga tempoh pinjaman singkat dengan kelab Thailand, Ratchaburi, namun pemain berusia 26 tahun berkenaan tetap bersemangat untuk mengharungi musim 2024.
Kelahiran anak lelaki, Saif Sulaiman pada 30 September membawa banyak kegembiraan kepada rumah tangga Safawi dan ia juga menjadi inspirasi baginya untuk mengubah semula nasib kerjaya bola sepaknya.
“Dia masih bayi sekarang tetapi apabila dia dewasa, saya mahu dia mengenali bapanya sebagai pemain bola sepak. Saya mahu melihatnya dalam kalangan penonton dan menyaksikan saya bermain. Itu adalah legasi yang saya mahu cipta.
“Saya mahu dia melihat apa yang boleh saya lakukan di atas padang, bukan sahaja untuk negara tetapi juga untuk kelab. Apabila dia berumur satu tahun dan boleh berjalan, dia akan tahu bahawa bapanya adalah pemain bola sepak yang baik.
“Saya percaya 2024 akan menjadi baik. Saya percaya saya akan mempunyai lebih banyak peluang untuk bermain,’’ katanya yang seakan-akan memberi gambaran bahawa dia akan berpindah dari JDT ke Terengganu secara pinjaman untuk musim Liga Super 2024-2025.
Safawi antara nama pemain JDT yang akan dipinjamkan pada tahun depan. — Facebook/FAM
Meskipun musim 2023 yang hambar untuknya namun pemain yang mesra dengan panggilan Pawi dalam kalangan peminat dan rakan sepasukan itu, masih diberi kepercayaan jurulatih Kim Pan-gon untuk Piala Asia di Doha, Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari.
Walaupun terdapat persoalan mengenai pemilihannya, Safawi kekal sebagai bahagian penting Harimau Malaya berkat kaki kirinya yang hebat ketika membuat rembatan dan situasi bola mati.
Malah, kepantasan Safawi yang boleh menganggu pergerakan pemain pertahanan lawan juga antara kelebihan bekas pemain Terengganu itu dan bakal menjadi elemen penting untuk bahagian serangan negara.
“Saya terkejut dipanggil kerana saya tidak banyak bermain tahun ini tetapi saya rasa jurulatih masih melihat sesuatu dalam diri saya. Walaupun tidak mendapat banyak masa bermain, saya tahu saya telah bekerja keras semasa sesi latihan, baik untuk JDT dan pasukan kebangsaan.
‘‘Tidak memulakan permainan adalah kekecewaan besar bagi mana-mana pemain. Tetapi saya tidak pernah berputus asa kerana saya terus berlatih keras setiap hari. Saya hanya kekal fokus dan menunggu masa saya.
‘’Dalam pasukan kebangsaan, ada pemain yang tidak banyak beraksi dengan kelab masing-masing. Oleh itu, untuk menarik perhatian jurulatih, kita mesti melakukan latihan tambahan.
‘‘Saya percaya dengan latihan tambahan kerana saya tidak mahu kehilangan naluri menyerang apabila dipanggil semasa perlawanan," katanya
Dengan pemikiran sebegitu, Safawi boleh menjadi pilihan utama Malaysia di kempen Piala Asia nanti.
Bersaing dengan pemain sayap berkelas seperti Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim untuk mendapatkan tempat permulaan adalah sukar tetapi Safawi akan tampil dengan kekuatan tersendiri jika dia dipilih sebagai kesebelasan utama.
Di Doha, Malaysia yang berada di ranking 130 dunia itu akan memulakan kempen Kumpulan E menentang skuad di tangga ke-87, Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari.
Selepas itu, skuad kendalian Pan-gon akan menentang Bahrain yang kini di tangga ke-86 dunia di Stadium Jassim Bin Hamad (20 Januari) sebelum mengakhiri perlawanan menentang pasukan ke-23 dunia, Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram