Bantu Hector di skuad utama, Aidil Zafuan boleh turunkan ilmu buat Feroz


  • Podium
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Aidil Zafuan memenangi 26 trofi bersama skuad Harimau Selatan pada musim ini. — Instagram/AidilZafuan

BEKAS Pengarah Teknikal Johor Darul Takzim (JDT), Hector Bidoglio kini disahkan kembali mengendalikan Harimau Selatan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024/2025 bagi menggantikan Esteban Solari.

Perkara menarik mengenai lantikan baharu Bidoglio apabila barisan kejurulatihannya akan turut disertai bekas pemain Harimau Selatan, Aidil Zafuan Abd Radzak yang baru-baru ini diumumkan tidak lagi bergelar sebagai pemain JDT.

Pengguguran Aidil Zafuan disertai dengan beberapa pemain JDT seperti S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo yang difahamkan kerana mahu mengurangkan perbelanjaan bagi saingan musim 2024.

Menerusi laman Instagram miliknya, Aidil Zafuan merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas kesempatan untuk lagi sekali menjadi keluarga JDT.

WhatsApp Image 2023-12-30 at 00.49.12

Aidil Zafuan bersama Tunku Ismail. — Instagram/AidilZafuan

“Saya menanti langkah seterusnya dalam karier saya bersama JDT. Ia merupakan 11 tahun yang indah bersama JDT sebagai pemain, dan memenangi 26 trofi adalah suatu perasaan yang menakjubkan.

“Sudah tiba masanya untuk saya ‘menggantung but’ dan saya bersyukur kerana DYAM Tunku Mahkota Johor menawarkan saya untuk terus berada di sini dalam kapasiti kejurulatihan.

“Saya faham kelab sedang melalui perubahan dengan ramai pemain keluar, dan saya telah melihat dari masa saya di sini bahawa tidak kira apa jua perubahan, kami tetap memenangi trofi. Semua ini adalah kerana kestabilan dan visi yang dibawa oleh DYAM TMJ kepada JDT.

“Mari kita nantikan musim hadapan dengan harapan yang diperbaharui dan berusaha untuk meneruskan tradisi kemenangan kita,” tambahnya.

WhatsApp Image 2023-12-30 at 00.52.07

Feroz kini antara bek tengah yang sering diletakkan menjadi kesebelasan utama. — Instagram/JDT

Dengan Aidil Zafuan kini bergelar sebagai sebahagian kejurulatihan, pasti pemain legenda Harimau Selatan itu akan lebih mudah berkongsi pengalaman kepada pemain muda khususnya bagi posisinya sepertinya iaitu bek tengah.

Sebagaimana diketahui, bekas pemain kebangsaan berkenaan merupakan antara bek tengah terbaik negara dengan pengalaman domestik dan juga di persada antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Oleh itu, ramai memasang impian agar Aidil Zafuan dapat menurunkan ilmu kepada bek muda JDT, Feroz Baharuddin agar pemain berusia 24 tahun itu semakin matang dalam permainanya dan seterusnya dapat mengekalkan diri sebagai pemain utama Harimau Selatan.

Feroz yang kurang mendapat perhatian ketika Hector mengendalikan JDT musim lalu boleh diletakkan di bawah pemerhatian Aidil yang mempunyai karakter dan karisma tersendiri sepanjang 11 tahun bersama kelab.

Pada musim lepas, lulusan Akademi JDT itu hanya tampil dalam 10 perlawanan dan lima daripadanya ketika aksi Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram