JOHOR Darul Takzim (JDT) mengesahkan bahawa Hector Bidoglio kembali menerajui Harimau Selatan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Esteban Solari selepas kontraknya tidak disambung.
Berita berkenaan diumumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards menerusi laman rasmi Facebook kelab berkenaan pada Jumaat.
Bidoglio bukanlah nama asing untuk skuad Harimau Selatan kerana pernah menjadi Ketua Jurulatih bagi musim 2022 sebelum menjadi Pengarah Teknikal JDT.
Pastinya kehadiran semula Bidoglio dilihat akan membawa perubahan besar kepada pasukan yang berpangkalan di Selatan tanah air itu.
Solari antara individu penting yang digugurkan dalam perancangan JDT musim depan. — Facebook/JDT
Ditanya mengenai JDT yang dilihat 'recycle' jurulatihnya apabila Bidoglio diumumkan sebagai pengendali baharu, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berpandangan bahawa perkara itu tidak akan menjejaskan prestasi semasa Harimau Selatan.
"Pada pendapat saya JDT sekarang ini ibarat sebuah kelas yang dipenuhi murid-murid pandai, kalau cikgu kelasnya bertukar atau berpindah atau ditukarkan sekalipun tiada masalah, keputusan peperiksaan untuk kelas itu tetap cemerlang dan tak akan merudum teruk.
"Tambahan pula dalam kes JDT ini, murid-murid yang bijak pandai (pemain) akan lebih beruntung kerana kini guru besarnya (pengarah teknikal) yang ambil alih kelas untuk mengajar.
"Sepatutnya kelas itu akan jadi lebih beruntung dan sudah pastilah keputusan peperiksaan nanti akan jadi lebih cemerlang, itu andaian sayalah," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, Bidoglio pasti mengetahui lebih mendalam mengenai sistem yang diterapkan oleh JDT sepanjang meraih kejuaraan Liga Malaysia (Liga M).
"Saya pun tak nampak ada perbezaan air tangan Hector dulu dengan sekarang, mungkin air tangannya semakin mujarab dan serasi sekarang, malah saya yakin dia pasti lebih mantap kerana sudah semakin lama berada dalam sistem JDT ini dan tak boleh dianggap sebagai 'recycle'.
"Mungkin juga dia adalah perancang segala-segalanya (Pengarah Teknikal) atas kejayaan JDT sekalipun Esteban Solari sebagai Ketua Jurulatih," jelasnya.
Di samping itu, beliau turut berpandangan bahawa keputusan yang dilakukan oleh pemilik JDT, Tuanku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali pun tidak akan menjejaskan prestasi pasukan tersebut.
"Saya percaya percaturan dibuat pemilik JDT ini bukan sembarangan, semua impak telah diambil kira, rombakan ini tidak mungkin menjejaskan juara sepuluh kali berturut-turut Liga Super ini, mereka sentiasa memiliki material dan ramuan hebat, siapa pun pengadunnya bukan perkara pokok," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram