PADA Khamis, Johor Darul Takzim (JDT) menerusi laman rasmi di Facebook mengumumkan beberapa tonggak penting kelab tersebut digugurkan untuk musim depan.
Bukan sahaja Esteban Solari yang digugurkan malah beberapa pemain Harimau Selatan seperti S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo turut ditunjukkan jalan keluar.
Berikutan pengumuman tersebut, pastinya kelab-kelab di Liga Malaysia (Liga M) menarik nafas lega selepas melihat peluang untuk bergelar juara Liga Super terutamanya bakal menjadi kenyataan.
Sabah FC antara kelab Liga M yang dilihat boleh bergelar juara Liga Super musim depan. — Facebook/Sabahfc
Penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan bahawa kesan daripada langkah penjimatan tersebut dilihat memberi sinar harapan kepada kelab-kelab yang bersaing dalam Liga M sekali gus mampu menewaskan JDT.
"Mungkin akan memberi kesan kepada kelab-kelab lain yang beranggapan bahawa JDT akan menjadi kurang hebat berbanding tahun-tahun sebelum ini.
"Kelab-kelab lain akan ada harapan untuk menewaskan JDT disebabkan kekurangan pemain berkualiti yang dikeluarkan untuk musim depan," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, pengumuman tersebut sedikit sebanyak mampu memberi suntikan terutamanya mengubah mentaliti agar lebih berkeyakinan untuk bersaing dengan juara bertahan Liga Super 10 musim berturut-turut itu.
"Pasukan lain akan mempunyai keyakinan lebih tinggi untuk bersaing dengan JDT.
"Mungkin selama ni mereka hanya berfikir perlu bersaing sesama pasukan yang lain untuk merebut tempat kedua dalam Liga Super, sekarang ni ada peluang yang lebih besar bergelar juara," kongsinya.
Kedah Darul Aman FC turut dilihat mampu bergelar juara Liga Super. — Facebook/KDAFC
Zulakbal turut menjangkakan bahawa persaingan liga musim depan akan lebih menarik.
"Oleh itu, perlawanan liga dijangka akan menjadi lebih rancak, ganas dan panas musim depan," ujarnya lagi.
Meskipun begitu, Zulakbal tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa JDT akan membawa masuk pemain berkualiti bagi persediaan aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim depan.
"Tapi kenyataannya, kita tidak tahu lagi kalau pihak mereka membuang beberapa pemain tersebut dan mahu mengambil pemain lain lagi.
"Untuk persediaan ACL, JDT sebenarnya mempunyai jumlah pemain yang agak besar, mencukupi untuk buat dua team, jadi tiada masalah pun," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram