SEORANG pemain bola sepak lazimnya akan direkrut melalui ejen yang sudah dilantik ataupun menerusi video permainan di media sosial untuk menaikkan portfolio mereka sebagai atlet sukan berkenaan.
Berbeza dengan seorang pemain muda yang bernama Aiman Zulhilmi apabila caranya memasarkan diri sebagai seorang pemain bola sepak menjadi tular kerana menggunakan resume.
Menerusi hantaran pengguna Facebook, Mohd Rahimi Bin Adnan memaklumkan bahawa lelaki berusia 20 tahun itu sedang mencari pasukan berpangkalan di Lembah Klang bagi meneruskan cita-cita menjadi pemain profesional.
“Salam tuan-tuan, mencari peluang untuk saudara saya untuk bermain bola untuk team yang berminat. Prefer team di Lembah Klang.
“Bekas pemain skuad belia PDRM. Finalis MSSD (Majlis Sukan Sekolah Daerah) 100 meter,” kata pengguna Facebook berkenaan, yang juga merupakan bapa saudara pemain muda itu.
Resume Aiman yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Mohd Rahimi Adnan.
Dalam resume tersebut, Aiman meletakkan pengalamannya beraksi dengan pasukan bola sepak SKKCB (2015), pasukan Remaja Kajang (2016), Harimau United FC (2018), Kajang High School (2016-2020) dan mewakili pasukan belia PDRM FC bagi kejohanan Piala Belia 2021.
Walaupun pada awalnya pemain kelahiran Selangor itu bermain sebagai penyerang namun Aiman juga berkebolehan untuk beraksi sebagai bek kiri dan pertahanan tengah dalam sebuah pasukan.
Selain itu, bekas pelajar Kajang High School itu juga menyertakan setiap markah mengenai kemahirannya dalam bola sepak seperti hantaran, elemen kerjasama pasukan, pertahanan dan teknik menendang bola ke arah gawang lawan dalam resumenya.
Cara pemain itu membuat portfolio dirinya mendapat respons positif daripada penyokong bola sepak tempatan dengan rata-ratanya berharap agar Aiman mendapat kelab bagi membantu mengejar cita-citanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram