PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon meletakkan harapan buat anak-anak buahnya untuk beraksi dengan cemerlang dalam saingan Piala Asia Qatar pada Januari depan.
Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, ia merupakan cita-citanya untuk menyaksikan pasukan dikendalikannya bermain di peringkat tertinggi dan mengharapkan pemain negara turut merasai semangat terbabit.
"Kami sudah menunggu terlalu lama untuk beraksi dalam Piala Asia. Sebagai seorang jurulatih, saya memang memiliki hasrat untuk mempamerkan sesuatu dalam pertandingan itu," katanya.
Pan-gon berkata demikian ketika sesi latihan berpusat yang diadakan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Selasa.
Skuad kebangsaan melayakkan diri ke Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam 42 tahun, namun cabaran besar dilihat menanti mereka berdasarkan lawan yang bakal dihadapi.
"Peluang sudah diberikan buat kami. Saya melihat pertandingan ini bukan sahaja berkisar mengenai bola sepak, tetapi kami akan mewakili negara dan mempamerkan budaya kita.
Pemain negara mengadakan sesi latihan berpusat di Wisma FAM pada Selasa. — Facebook/FAM
"Kami akan menunjukkan mentaliti seorang juara. Kami tidak akan menyerah begitu sahaja dan akan beraksi dengan baik walau apa sahaja situasi dihadapi," katanya.
Skuad kebangsaan bakal memulakan kempen Piala Asia dengan aksi bertemu Jordan pada 16 Januari diikuti pertemuan dengan Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan pada 25 Januari.
Dalam pada itu, jurulatih berusia 54 tahun berkenaan meletakkan cita-cita supaya sokongan dapat diberikan sepanjang kempen berlangsung di Qatar.
"Kita akan berdepan cabaran yang hebat dan tentunya, tidak akan ada ramai penyokong yang akan memberikan sorakan buat kami di sana nanti.
"Tetapi, dalam hati saya, dalam hati kami, kami merupakan wakil negara. Jadi, kami akan berkhidmat buat negara, demi nama dan maruah negara," ujarnya lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram