DEBARAN semakin terasa buat skuad kebangsaan yang bakal beraksi dalam saingan Piala Asia Qatar dengan aksi pertama bakal menyaksikan mereka berdepan Jordan pada 16 Januari depan, lapor Stadium Astro.
Jadi, untuk memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik, persiapan rapi terus dibuat pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Antara langkah awal yang diambilnya adalah dengan memanggil 26 pemain ke kem latihan berpusat untuk menentukan kesebelasan utama terbaik.
Harapan besar penyokong pastinya diletakkan terhadap penyerang naturalisasi baharu negara, Romel Morales yang dipanggil buat kali pertama.
Pemain kelahiran Colombia itu sememangnya menjadi sasaran ramai untuk menyertai skuad Piala Asia berdasarkan rekodnya yang cemerlang sepanjang lima tahun dalam Liga Super.
Romel mempunyai reputasi cukup baik sebagai antara penyerang terbaik dalam negara. — Facebook/Kuala Lumpur City
Usianya yang baru sahaja mencecah 26 tahun turut memberi gambaran bahawa Romel merupakan solusi terbaik dalam mengatasi isu ketandusan penyerang dengan hanya Darren Lok boleh diturunkan di posisi terbabit.
Kehadiran pemain Kuala Lumpur (KL) City FC berkenaan juga disokong tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim yang beranggapan perebutan dalam skuad kebangsaan akan menjadi lebih sengit.
"Dalam senarai ada 26 pemain dan sudah tentu semuanya berkualiti dan ada kelebihan masing-masing.
"Pemain seharusnya memberikan kerja yang lebih baik buat pasukan dan jurulatih akan menilai siapa yang terbaik dan siapa yang akan diturunkan," katanya kepada Astro Arena.
Faisal dilihat akan menjadi ayam tambatan pasukan negara berdasarkan rekodnya yang memberangsangkan bersama Harimau Malaya sepanjang 2023.
Persiapan akhir terus dibuat untuk memantapkan lagi skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Gandingannya bersama pemain lain dalam barisan serangan membantu skuad kebangsaan merekodkan prestasi cemerlang, termasuk ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
"Dalam kem kali ini, saya rasa persaingannya cukup sengit. Tiada siapa ada jaminan untuk bermain sepenuh masa. Tiada siapa ada jaminan untuk bermain dalam kesemua perlawanan.
"Dalam setiap hari latihan dan dalam setiap hari perlawanan, kami sebagai pemain harus bersedia dan harus memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia," katanya lagi.
Selepas berdepan Jordan, skuad kendalian Pan-gon akan bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum menutup saingan peringkat Kumpulan E dengan aksi menentang Korea Selatan pada 25 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram