SKUAD bola sepak kebangsaan Bawah 23 tahun (B-23) tidak dapat meneruskan momentum kemenangan apabila tumbang 1-2 pada aksi persahabatan menentang pasukan B-23 China di Stadium Jinshan, Shanghai, China pada Selasa.
China terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Du Yuezheng pada minit keenam sebelum Izwan Yuslan menyamakan kedudukan pada minit ke-35.
Ia merupakan perlawanan kedua persahabatan menentang skaud muda negara ’Tembok Besar’ itu dengan aksi pertama menyaksikan kemenangan 1-0 memihak kepada skuad kendalian Juan Torres Garrido di venue sama pada Sabtu lalu.
Selepas kekalahan tipis pada perlawanan kedua berkenaan, ketua pasukan Harimau Malaya B-23, Harith Haiqal Adam Afkar menyimpulkan bahawa barisan pertahanan masih tidak berada pada tahap cemerlang.
Bek tengah Selangor FC itu kecewa terhadap barisan pertahanan yang goyah dan berasakan masih banyak perlu diperbaiki sebelum Piala Asia B-23 di Qatar pada April depan.
Kesebelasan utama Malaysia menentang China B-23 pada Selasa. — Facebook/FAM
“Bagi saya bahagian pertahanan nampak agak sedikit goyah. Walaupun saya bermain, saya rasa goyah sikit dan Safwan (Safwan Mazlan) goyah sedikit. Kalau kita dapat touch up sedikit, insya-ALLAH pasukan akan jadi lebih baik di masa depan.
“Semestinya kita kena yakin dengan setiap permainan yang dihadapi. Tak kisah lawan siapa pun. Jika kita tak yakin sebelum bermain, lebih baik kita surrender. Kalau kita yakin, insya-ALLAH semua benda akan berjalan dengan lancar,” katanya usai perlawanan berakhir.
Walaupun ada sedikit kepincangan di bahagian pertahanan, Harith Haiqal bagaimanapun memuji corak permainan yang ditampilkan oleh ketua jurulatihnya dalam dua perlawanan persahabatan ini.
Garrido ketika memberi arahan di tepi padang pada perlawanan menentang China B-23 pada Selasa. — Facebook/FAM
Harith Haiqal berkata, rata-ratanya barisan pemain Harimau Malaya B-23 semakin memahami dengan pendekatan yang dibawa oleh pengendali baharu itu.
“Sejujurnya saya sangat berpuas hati. Kalau nak bandingkan dengan pasukan sebelum ini dan dengan kemasukan coach Juan, game play banyak berubah dan pemain lebih selesa dan faham dengan taktikal yang diterapkan oleh coach Juan,” jelasnya.
Pemain berusia 21 tahun itu sebelum ini berjaya membantu Malaysia memenangi perlawanan pertama menentang China B-23 hasil jaringan tunggalnya pada Sabtu lepas.
Harith Haiqal juga diramal akan tersenarai dalam pemain B-23 yang akan dibawa ke Qatar pada tahun depan dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram