Tekken 8 antara 3 permainan video hangat bakal muncul pada suku pertama 2024


  • eSports
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Tekken akan melancarkan siri kelapan mereka pada 2024. — Agensi

MASA semakin hampir untuk kita memasuki tahun baharu dengan 2024 akan tiba tidak lama lagi. Memasuki tahun baharu, sudah pastinya pelbagai permainan video akan menemui para peminat merentasi genre serta peranti.

Tidak kira sama ada ia adalah permainan baharu, sambungan daripada sekuel terdahulu atau remastered, suku pertama tahun 2024 bakal menjanjikan keseronokan berganda buat para pemain baik di konsol atau PC.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan singkap tiga permainan video yang bakal menemui peminat pada suku pertama:

1. Tekken 8

Siri permainan tempur kegemaran ramai ini bakal muncul dengan edisi baharu apabila Bandai Namco melancarkannya pada 2024.

Tekken 8 akan menyaksikan beberapa tambahan ciri (feature) untuk meningkatkan pengalaman bermain permainan ini. Salah satunya adalah ia akan menjadi lebih agresif berbanding sebelum ini. Oleh itu, pemain perlu menjangkakan pertempuran lebih ganas berbanding sebelum ini.

Antara ciri baharu yang ditambah Bandai Namco dalam Tekken 8 adalah sistem Heat Gauge. Selain itu, Tekken 8 turut akan membawa kembali ciri sistem serangan berasaskan Rage yang dipakai dalam Tekken 7.

Tekken 8 akan menemui peminat pada 26 Januari 2024 dengan ia akan muncul di peranti PlayStation 5, Xbox Series X/S serta PC.

2. Final Fantasy VII Rebirth

Satu lagi permainan video kegemaran ramai akan menemui peminat dengan siri ketujuh dihasilkan oleh Square Enix. Siri kali ini merupakan sekuel kepada FFVIIR yang dihasilkan semula (remake) pada 2020.

Dalam permainan berasaskan role-playing ini, pemain akan tertumpu mengawal Cloud Strife, bekas askar Shinra yang menyertai golongan eko-pengganas iaitu Avalanche untuk menjatuhkan Shinra Corporation.

FFVIIR akan menyaksikan elemen real-time action berserta corak permainan strategik disulam bersama-sama role-playing supaya dapat menghadirkan pengalaman bermain yang berbeza buat para pemain.

Permainan pemain individu (single player) ini akan dilancarkan pada 29 Februari 2024 dan ia hanya boleh dinikmati di PlayStation 5.

3. The Outlast Trials

Merupakan permainan bergenre psychological horror survival, TOT merupakan edisi ketiga daripada siri Outlast yang pernah dikeluarkan sebelum ini oleh Red Barrels.

Permainan ini bakal menyaksikan pemain perlu berdepan dengan pelbagai cabaran serta menyelamatkan diri daripada musuh-musuh yang terdiri daripada gergasi dan raksasa.

TOT merupakan permainan yang memerlukan pemain bermain dari perspektif orang pertama atau first person. Walaupun ia merupakan permainan yang tertumpu kepada pemain solo, ia tetap boleh dimainkan bersama teman sehingga maksimum empat pemain.

Siri ini sebenarnya telah dilancarkan menerusi format akses awal (early access) pada Mei 2023. Edisi penuh akan menemui peminat di peranti PlayStation 4 & 5, Xbox One, X & S serta PC pada 5 Mac 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram